Sains Memberitahu Kita ‘Bagaimana’ Tetapi Tidak Pernah Dapat Menjawab Persoalan ‘Kenapa’.

1578

Penyusunan buku Solat dan Sains ini bukanlah bermakna Setiap ibadat yang kita lakukan mestilah dibuktikan faedahnya Melalui kajian sains.

Ianya adalah tambahan fakta-fakta saintifik dengan kadar ilmu yang dianugerahkan Allah kepada manusia berkaitan ibadat solat yang kita kerjakan.

Al Quran yang ada di hadapan kita, pada hakikatnya telah membentangkan fakta-fakta menakjubkan yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa. Amat besar kesilapan mereka yang mengatakan, kita tidak boleh menerima Islam kerana ianya bertentangan dengan sains moden.

Sains banyak membantu tetapi sains tidak dapat mengantikan agama. Sains dan teknologi sebenarnya telah banyak memberi maklumat kepada kita tentang alam nyata, menyediakan kesenangan dan keselesaan yang tidak pernah ditemui sebelum ini, meningkatkan kecekapan dan menemukan ubat-ubat bagi pelbagai jenis penyakit yang biasanya boleh membawa maut.

Namun sains tidak pernah dan tidak akan pernah dapat mengajar kita tentang makna serta hakikat kehidupan dan kematian. Sains memberitahu kita ‘bagaimana’ tetapi tidak pernah dapat menjawab persoalan ‘kenapa’.

Sains boleh menerangkan bagaimana proses dan peringkat kejadian manusia tetapi sains tidak dapat menjawab persoalan kenapa manusia dijadikan. Sains tidak dapat memberitahu kita apa yang betul dan apa yang salah, baik dan buruk serta dosa dan pahala, kenapakah kita dijadikan dan ke manakah kita akan dikembalikan.
Hanya Islam yang dapat mengajar kita semua ini. Bermakna sains dan Islam tidak boleh dipisahkan. Andai dipisahkan, manusia yang bertuhankan sains lalu menolak agama akan menjadi sesat.

IMG-20140622-WA0041Sains dapat menerangkan kepada manusia bagaimana solat dapat menyihatkan badan tetapi sains tidak dapat menjawab kenapa manusia solat. Allah yang menjadikan manusia, Allah yang mewajibkan solat, maka hanya Allah yang dapat menjawab persoalan kenapa DIA berbuat demikian.

*** Petikan dari buku ‘Sains dan Solat’ Tulisan Dr Azman Ibrahim

Buku tersebut akan dilancarkan bersekali dengan buku karangan Dr Suhazeli Abdullah “Vaksin Antara Mitos dan Realiti” pada hari Sabtu 5 Julai 2014, bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, bertempat di Sabasun Hyper Runcit 1, Kuala Terengganu.