Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) terpanggil untuk melontarkan persoalan, apakah sebenarnya yang berlaku kepada Syarikat Air Terengganu (SATU)?
Persoalan ini dilontarkan bilamana melihat SATU baharu sahaja menetapkan bermula 1 Jun 2014, sebanyak RM1 dikenakan sebagai ‘sewa meter’ kepada setiap pelanggan SATU.
Pengguna tertanya-tanya, apa rasional meter air disewakan kepada pengguna? Sedangkan meter berkenaan dipasang pihak SATU untuk memudahkan pihak SATU menyukat jumlah air disalurkan. Meter tersebut tiada manfaat bagi pengguna.
Tindakan SATU ini dilihat tidak lebih dari cuba membuat untung atas angin sahaja. Walaupun jumlah tersebut hanya sedikit, namun tindakan tersebut adalah zalim terhadap pengguna.
DPPNT juga melihat SATU akhir-akhir ini terus mengejar pengguna yang lewat membayar bil. Pengguna yang malang akan dipotong bekalan air. Jika mahu menyambung semula, pengguna perlu menjelaskan bil beserta caj pemotongan dan sambungan berjumlah RM70.
Sedangkan pada masa yang sama, pihak SATU tidak mesra pengguna dalam soal pembayaran bil. Pembayaran bil SATU seolah-olah tidak digalakkan dibayar kepada pihak ketiga yang memungut bil. Antaranya bil SATU dikenakan caj tambahan yang tidak setimpal dan sudah ada pemungut bil yang tidak lagi menerima pembayaran bil SATU di tempat mereka kini.
Kami sedia maklum, pada bil SATU tercatat amaran supaya bil dijelaskan dalam tempoh 30 hari. Namun, kes pemotongan air yang melibatkan jumlah bil yang sedikit sewajarnya dilihat dengan sikap prihatin. Sekurang-kurangnya, ditetapkan jumlah minima yang setara dengan kos pemotongan dan penyambungan semula. Pemotongan air yang dilakukan bukan bersifat mendidik rakyat, sebaliknya mencekik rakyat sendiri.
Rakyat baharu sahaja ‘dijanjikan’ dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kemudian dihidangkan pula dengan cadangan kenaikan kadar Cukai Pintu yang tidak masuk akal. Juga pengumuman Perdana Menteri mengenai cadangan tarif baru elektrik.
Mewakili rakyat pengguna, sudah pasti kami kecewa dengan sikap SATU yang dilihat rakus dalam tindakan mereka ini. Inilah yang menyebabkan kami tertanya-tanya apa sebenarnya yang sedang berlaku di dalam SATU?
Janganlah hendaknya persoalan ini dijawab dengan jawapan sebagaimana menteri-menteri yang ada dengan menyuruh rakyat menggali telaga. Cukuplah sudah episod kebodohan yang ada. Rakyat sudah matang untuk menilai mereka.
Kembalilah SATU demi rakyat.
Mohd Nasir Abdul Razak
Setiausaha DPPNT
8 Jun 2014


























