Saya ingin merujuk kepada kenyataan Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (Jobs Malaysia) mengenai program Baucar Kerja khusus untuk menangani beban kewangan yang dialami oleh golongan miskin bandar.
Menurut unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kira-kira 76% rakyat Malaysia akan menetap di kawasan bandar menjelang tahun 2015. Pembentukan “urban agglomerations” atau situasi kepesatan urbanisasi akan menatijahkan pelbagai impak sosio-ekonomi khususnya yang berkaitan dengan golongan miskin bandar.
Menurut Presiden Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia pada tahun 2012, definisi kemiskinan bandar mengikut konsep relatif ialah isi rumah yang berpendapatan RM 3,000 sebulan. Walaupun, satu kajian pernah dilakukan sebelum ini yang menunjukkan perbelanjaan isi rumah di bandar sekitar RM 2,465 sebulan, namun ia belum mengambil kira kadar inflasi terkini termasuk kenaikan indeks harga pengguna yang dilaporkan oleh Jabatan Statistik Negara bagi suku keempat tahun lalu. Saya juga bimbang laporan-laporan tersebut tidak mencerminkan tekanan kos sara hidup yang dialami oleh golongan miskin bandar hari ini.
Oleh yang demikian, saya menggesa agar Kementerian Sumber Manusia dan pihak-pihak berkenaan tampil mengemukakan pelan tindakan bagi meneliti realiti situasi sosio-ekonomi masyarakat bandar hari ini. Ini termasuk mengubah paras garis kemiskinan bandar yang dilihat kurang relevan serta dapat mengumpulkan lebih ramai masyarakat bandar untuk diberikan insentif serta bantuan.
Maka, cadangan untuk memberi Baucar Kerja bersyarat sebanyak RM 35 sehari dianggap terlalu simplistik dan berjangka pendek. Saya juga bimbang jika ramai yang memilih dua kerja, waktu pagi dan malam, maka kualiti institusi keluarga akan rapuh dan kehidupan rakyat tidak seimbang.
*** Kenyataan Media YB USTAZ NASRUDIN HASSAN Ahli Parlimen Temerloh AJK PAS Pusat



























