Susulan penemuan mayat kanak-kanak perempuan Nursyafiqah Adawiyyah Binti Abdullah berumur 2 tahun di sebuah rumah beralamat Lot 8428 Taman Permint Sri Paka, PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan saudara mara mangsa terbabit.
Mewakili seluruh rakyat negeri Terengganu, PAS merasa terkejut dan kesal dengan kejadian jenayah berat; rompak, rogol dan bunuh yang menjadi semakin dekat dengan kejiranan setiap keluarga di negeri Terengganu dan negara kita Malaysia amnya.
Selepas kejadian pembunuhan peniaga nasi kukus di Paka pada 13 Ogos, 2013, dua lelaki bertopeng bersenjatakan sepucuk pistol dan parang telah menyamun stesyen minyak di Rantau Abang.
Di peringkat nasional pada tahun lalu, sebanyak 23 kes tembak telah dilaporkan berlaku dalam tempoh empat bulan, antara April hingga Julai.
Walaupun ‘Ops Cantas’ dilaporkan berjaya mengurangkan kadar jenayah berat, namun Polis Terengganu terpaksa menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dua kes tembak yang sangat mengejutkan, berlaku dalam tempoh 48 jam di Hulu Terengganu dan Besut, pada awal bulan ini.
Justeru kejadian jenayah yang begitu banyak berlaku, apakah kita tidak menginsafi sesungguhnya ia adalah satu ‘malapetaka’ yang memberikan peringatan kepada manusia bahawa undang-undang ciptaan manusia bukan sahaja tidak berjaya mengawalnya, bahkan tidak mampu menyelesaikan masalah sosial yang dihadapi.
Oleh itu, PAS mendesak kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Terengganu khususnya, untuk menuruti jejak langkah kerajaan Aceh di Indonesia dan kerajaan Brunei DarusSalam yang telah berjaya melaksanakan Undang-undang Syariah.
Mengapakan kerajaan Terengganu DarulIman masih belum menguatkuasakan Enakmen Jenayah Hudud dan Qisas yang telah diluluskan? Sedangkan ia telah mendapat perkenan Sultan pada tahun 2002, untuk dilaksanakan sebagai undang-undang dan peraturan dinegeri Terengganu.
Apakah kita mahu melihat ‘bala’ yang lebih dahsyat terjadi, barulah kita sedar dan kembali kepada hukum Allah dan rasulNya?
Marilah kita tunjukkan kecintaan kita kepada Allah dan rasulnya, bukan hanya sekadar menyambut dan merayakan MaulidurRasul Muhammad SAW, tetapi dengan melaksanakan undang-undang yang telah diasaskan baginda sejak penubuhan negara Islam Madinah.
Sesungguhnya, hilangnya kerahmatan atas sesuatu umat itu akan berlaku kerana mereka meninggalkan syariat dan melakukan maksiat terhadap Allah SWT, sebagaimana Firman Allah dalam al-Quran surah Taha yang bermaksud; “Dan barangsiapa yang menolak peringatanKu maka sesungguhnya kehidupannya akan menjadi hina……,”
YB HAJI SATIFUL BAHRI MAMAT
PESURUHJAYA PAS NEGERI TERENGGANU
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI (ADUN) PAKA
Khamis 21 RabiulAwwal, 1435H/ 23 Januari, 2014




























