Terengganu, Malaysia
Kenyataan Media

Isu Pemecatan Guru KAFA; Para Pegawai Jangan ‘Pikul’ Dosa Pemimpin Umno

satiful3

Menghukum seseorang yang tidak bersalah adalah satu tindakan yang zalim dan berdosa, begitu juga tindakan memecat mana-mana pegawai atau kakitangan semata-mata kerana politik kepartian.

Kesalahan dilakukan pemimpin Umno yang menerajui kerajaan negeri Terengganu tidak wajar dipikul oleh para pegawai yang tidak melakukan apa-apa kesalahan.

sinar isu kafaMerujuk kepada laporan akhbar, Pengarah Yayasan Islam (YIT) tidak harus menanggung dosa pemimpin Umno malah menambahkan ‘dosa’ peribadi dengan bercakap tidak benar dan menafikan tindakan memecat guru KAFA tersebut adalah kerana ‘politik’ semata-mata.

Seorang pegawai YIT telah mengakui, melalui catatan yang dibuatnya dalam laman sosial bahawa, seorang guru KAFA itu mesti menyokong Umno sekiranya mahu terus mengajar.

Beliau juga mendedahkan kebenaran dakwaan, bahawa setiap guru yang mahu disambung perkhidmatannya mestilah mendapat sokongan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Seorang lagi pegawai YIT telah mendedahkan bahawa, arahan pemecatan guru-guru KAFA itu adalah datang dari Menteri Besar sendiri.

Oleh itu, tindakan kerajaan negeri dan YIT yang dipimpin oleh Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad sangat tidak berperikemanusiaan, walaupun guru-guru KAFA yang dipecat adalah kakitangan ‘kontrak’.

Tidak ada belas ihsan langsung kepada guru-guru tersebut yang juga ibu bapa, mereka hilang mata pencarian ketika sibuk menghadapi persiapan anak-anak untuk kembali ke sekolah.

Dimanakah slogan yang sering diheboh-hebohkan ’ Merakyat Pentadbiran dan Pembangunan’ negeri Terengganu, sedangkan tindakan kerajaan negeri dan YIT tidak berlaku adil kepada rakyat.

Dengan tegas, saya mendesak Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said, kerajaan negeri Terengganu dan Yayasan Islam Terengganu agar menarik balik pemecatan dan penamatan kontrak guru-guru KAFA tersebut.

YB HAJI SATIFUL BAHRI BIN MAMAT
PESURUHJAYA PAS NEGERI TERENGGANU
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI PAKA
30 Safar 1435/ 02 Januari, 2014

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan