Yayasan Amal Malaysia (Amal Malaysia) telah mengenal pasti tiga bidang kebajikan strategik yang boleh terokai di kawasan bergolak dengan perang dari kekejaman rejim Presiden Bashar al-Assad.
Tinjauan delegasi Amal Malaysia yang diketuai oleh Nasrun Amir Abdullah [Gambar – paling kanan] berjaya melepasi sempadan Turki-Syria pada 6 November melalui pintu masuk di Hosgeldiniz Reyhanli hingga ke bandar Aleppo, Syria.
Nasrun yang juga Setiausaha Yayasan Amal berkata tiga bidang telah dikenal pasti pihaknya bagi membantu umat Islam di bumi Syria ini.


“Kami dari Yayasan Amal Malaysia telah kenal pasti beberapa perkara yang boleh dibantu sebagai suatu tanggungjawab dalam persaudaraan Islam ini.
“Pertama, bidang pendidikan pra-sekolah yang boleh kita (Amal Malaysia) terokai di sini (Syria). Kedua, prasarana untuk bekalan sumber air bersih dan kita (Amal) ada pengalaman di Sudan dan Palestin. Ketiga, bantuan kepada ahli keluarga para syuhada yang hilang mata pencarian keluarga.
“Amal Malaysia akan usahakan selepas ini untuk membantu umat Islam di Syria mengikut kadar kemampuan dan dukungan orang ramai, Insya’Allah,” jelasnya
Rombongan Amal Malaysia bekerjasama sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Cansuyu yang berpusat di Ankara, Turki.
Presiden Cansuyu, Mustafa Koylu berkata pihaknya sedia membantu Amal Malaysia dalam usaha pemudah cara kerja-kerja kemanusiaan, perubatan dan kebajikan.


Katanya, sejak berlaku konflik di Syria akibat perang oleh tentera Bashar al-Assad, kumpulan NGO Cansuyu turut membantu rakyat yang menjadi mangsanya.
“Alhamdulillah, kami dari Cansuyu rasa sangat gembira dan mengalu-alukan kehadiran saudara (Amal Malaysia) ke sini (Turki).
“Masalah (perang) di Syria, kami (Cansuyu) ada beri bantuan kemanusiaan, perubatan dan kebajikan kepada rakyat yang menjadi mangsa perang tentera Bashar. Kita sebagai badan NGO boleh main peranan itu,” ujarnya
Oleh yang demikian, orang ramai khususnya rakyat Malaysia yang prihatin dan bersimpati dengan nasib umat Islam yang teraniaya di bumi Syria, diseru menghulurkan bantuan dan sumbangan.
Sumbangan boleh dibuat melalui Yayasan Amal akaun CIMB No. 14680000191108




























