Tahniah MB Kelantan

810

Pihak NGO Royalti (R) mengucapkan Tahniah dan Syabas kepada YAB Menteri Besar Kelantan Datuk Ustaz Ahmad Yaakob kerana berjaya mengadakan pertemuan dengan YAB Perdana Menteri Malaysia pada 28 November 2013.

Rakyat Kelantan menyambut baik pertemuan ini dengan perasaan gembira. Harapan tinggi rakyat Kelantan adalah untuk melihat kedua-dua Kerajaan Negeri dan Persekutuan mesing-masing bekerjasama di dalam melaksanakan tanggung jawap untuk membangunkan negeri ini. Rakyat telahpun menyerahkan amanah ini kepada pemimpin-pemimpin untuk melaksanakan pelbagai program atau projek bagi kesejahteraan rakyat.

Pihak kami berharap agar soal politik kepartian diletakkan ke tepi sementara waktu sehinggalah tiba masa Pilihanraya Umum nanti. Di dalam tempoh pemerintahan yang ada ini sepatutnya kedua-dua kerajaan menumpukan sepenuh perhatian untuk membangunkan negeri dan negara ini tanpa mengira masalah perbezaan politik.

Pihak kami difahamkan terdapat beberapa perkara telahpun dibincangkan di antara kedua-dua pihak antaranya soal Tuntutan Royalti Petroleum, Pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, Sistem Bekalan Air Bersih dan Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 Negeri Kelantan (Hudud).

Perkara-perkara tersebut adalah merupakan isu penting yang menjadi perjuangan dan tuntutan rakyat Kelantan semenjak sekian lama. Sebagai contoh hak Tuntutan Royalti Petroleum bermula pada 19 Mei 1975 iaitu bermula dari tarikh perjanjian di antara Kereajan Negeri Kelantan dan Petronas.

Melalui perjanjian tersebut pihak Kerajaan Negeri Kelantan telah menyerahkan hak mencari gali dan membangunkan industri petroleum kepada pihak Petronas. Sebagai balasannya pihak Petronas wajib membayar Royalti sebanyak 5% yang dibayar 2 kali setahun kepada Kerajaan Negeri. Sehingga kini jumlah tunggakan Tuntutan Royalti Negeri Kelantan adalah dianggarkan RM12 Billion.

Manakala cadangan Pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai telah dicadangkan untuk dilaksanakan semenjak Rancangan Malaysia Ke 5. Kegagalan pelaksanaannya yang telah menjangkau lebih 25 tahun ini mengakibatkan berlakunya kesesakan lalulintas yang dasyat terutama pada musim perayaan. Kemajuan ekonomi Kelantan tidak serancak negeri-negeri lain yang mempunyai jaringan perhubugan yang lebih baik. Kelantan juga adalah satu-satunya negeri yang tidak mempunyai kemudahan bertaraf Lebuhraya, berbanding Perlis sebuah negeri yang kecilpun telah disediakan kemudahan Lebuhraya.

Pelaksanaan hukum Hudud di Kelantan pula telah diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 28 Oktober 1993 namun kemudianya terhalang dengan surat bantahan keras dari Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahadhir Muhammad pada 8 Jun 1994..

Oleh kerana tuntutan-tuntuan tersebut telah lama diperjuangkan oleh rakyat Kelantan, maka adalah sangat waja pihak Kerajaan Persekutuan meluluskan segala pelaksanaanya.

Apabila dilihat dari segi peruntukan perundangan pula, Negeri Kelantan mempunyai hak yang sama dengan negeri-negeri di Malaysia. Perjanjian penyertaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 telah memperincikan segala bidang dan tanggung jawap Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Permohonan projek-projek pembangunan yang dicadangkan oleh pihak Kerajaan Negeri melalui pertemuan dan turut disusuli dengan Surat Rasmi tersebut adalah merupakan tanggung jawap yang telah disenaraikan di dalam Jadual Persekutuan.

Rakyat Kelantan juga merupakan penyumbang utama dalam bentuk bayaran cukai. Rakyat Kelantan tidak terlepas dari tanggung jawap untuk membayar pelbagai cukai kepada Kerajaan Persekutuan. Cukai pendapatan, barangan, perkhidmatan, perniagaan dan pelbagai lagi yang disumbangkan oleh rakyat negeri ini seharusnya dibalas dengan pelaksanaan segala projek infrastruktur asas yang diperlukan rakyat.

Sebelum ini beberapa pertemuan seumpama ini telahpun berjaya dilakukan semenjak kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat dan Tun Dr Mahadhir Muhammad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Namun hasilnya banyak yang mengecewakan rakyat. Walaupun pada awalnya kedua-dua pihak telah menunjukkan isyarat positif dan berjanji untuk menjalinkan bekerjasama yang baik.

Pihak R mencadangkan agar kedua-dua pihak melalui Agensi-agensi pelaksana di peringkat Kerajaan kedua-dua pihak mengambil inisiatif yang pro aktif sebagai “follow up” kepada perjumpaan terbaru ini supaya ianya benar-benar menjadi kenyataan.

Hj Nazri Deraman
President Royalti (R)