KUALA TERENGGANU – Tiada sebarang usaha daripada mana-mana pihak dalam PAS yang mahu membubarkan Majlis Syura Ulama sebagaimana digembar-gemburkan dalam laman sosial Facebook baru-baru ini.
Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat Dato’ UstaZ Abu Bakar Chik berkata, sekiranya perkara itu wujud, sudah tentu terdapat usul daripada pihak tertentu ke peringkat jawatankuasa PAS Pusat bagi memastikan Majlis Syura Ulama terbubar.
“Kalau mahu dibuat perubahan mengenai perkara sedia ada dalam perlembagaan, mesti dibuat pindaan dalam perlembagaan. Maka pindaan itu biasanya dibawa usul dahulu, sekarang tiada usul lagi.
“Jadi, saya tidak nampak ada mana-mana unsur untuk mansuhkan Majlis Syura Ulama, mungkin ia hanya dalam facebook sahaja,” katanya ketika ditemui selepas program Liqa’ al-Fikr di Markaz Tarbiyah Pas Kubang Lembek, Manir, di sini.
Namun begitu, Ustaz Abu Bakar berkata keperluan untuk mengekalkan atau tidak Majlis Syura Ulama yang dianggotai seramai 15 ahli itu pernah dibincangkan secara akademik sebelum ini.
“Orang berbincang secara akademik apakah perlu Majlis Syura Ulama seperti yang ada sekarang atau perlu bentuk kepimpinan Islam sahaja, maka itu perbincangan yang tiada kesan masa ini,” katanya.
Sebaliknya, kata beliau, Majlis Syura Ulama, perlu dikekalkan kerana melihat kepentingan dan peranannya sebagai pemegang polisi serta pemegang amanah dalam memastikan Pas bergerak menurut syariat Islam.
Beliau yang telah mengesahkan akan bertanding dalam pemilihan PAS pada kali ini, berkata hasratnya adalah mahu bersama-sama saf kepimpinan untuk memastikan hala PAS yang lebih baik, lebih-lebih lagi persiapan menghadapi PRU14.
“kali ini rasa perlu memandangkan insya ALLAH hendak bersama-sama pucuk pimpinan untuk mengukuhkan perjuangan dan hala tuju parti, di samping untuk mengusahakan pengaruh yang baik untuk menghadapi persiapan PRU14,” katanya.
Beliau menolak untuk memberikan komen tentang persaingan sengit yang dilihat akan berlaku dalam pemilihan Naib Presiden, dan memberika ruag kepada ahli-ahli untuk menilainya.
Namun begitu, sekiranya ahli memberikan kepercayaan dan memilih, beliau akan memainkan peranan dalam bidang dakwah, tarbiyah, pendidikan dan pembangunan sosio ekonomi rakyat sebagai satu kaedah untuk berkhidmat dalam masyarakat.
Apa yang penting katanya, kaedah pilihan raya perlu diperbaharui memandangkan PAS masih mempunyai kerusi yang paling sedikit berbanding PKR dan DAP.
“Kita masih di tahap mempunyai 21 kerusi iaitu paling sedikit dalam PR dan parti itu perlu mempunyai satu kebulatan dalam kepimpinan untuk memperkemaskan hala tuju perjuangannya berasaskan politik Islam dan gerakan Islam dan kalau pimpinan dapat berperanan secara jelas, Insya ALLAH sokongan akan lebih baik,” katanya.
Pemilihan PAS akan berlangsung pada Muktamar Agong PAS Kali KE-59 yang dijadualkan berlangsung di stadium Melawati Shah Alam bermula 22 hingga 24 November ini.




























