MARANG – PAS akan mengambil pendekatan meningkatkan kebajikan berikutan kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said mengabaikan pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak dimenangi oleh Umno-BN Terengganu dalam pilihanraya umum (PRU) lalu.
Di kawasan Marang, PAS meletakkan lima agenda penting bagi memperkasakan parti sebagai persiapan mencapai matlamat kembali memerintah negeri Terengganu pada PRU ke-14 akan datang.
Yang Dipertuanya, Haji Yahaya Ali berkata pra-syarat mencapai kejayaan tersebut akan menjadi fokus setiap ahli da penyokong PAS disemua peringkat cawangan, Dewan Undangan Negeri (Dun) dan kawasan.
Antaranya menurut beliau adalah merapatkan ‘saf’ dan meningkatkan kualiti kepimpinan, efisiensi bidang tugas dan mengutamakan sasaran kerja.
“kita (PAS) mesti mengatasi masalah pertindihan tugas dan kekurangan petugas pilihan raya. (Oleh itu) kita mesti fokus kepada pengundi-pengundi sasaran dan bukan berlegar sesama sendiri dan kita kena lebih kuat mendampingi masyarakat.
“khususya untuk pengundi-pengundi muda. Jentera Pemuda dan Halwa seperti Ameerah mesti diperkasakan dan mampu berdikari untuk mendekati dan menguasai pengundi-pengundi muda,” jelasnya.
Katanya, usaha perlu ditingkatkan dalam mengeratkan hubungan sedia ada antara parti dengan masyarakat umum yang masih belum mengenali PAS.
Justeru, kata Haji Yahaya, organ parti seperti dewan pemuda dan dewan muslimat perlu digerakkan sebaik mungkin bagi menarik sokongan tersebut.
“Usaha kita (PAS) membina hubungan dengan masyarakat mesti diperkasakan dan tidak hanya boleh bergantung kepada wakil rakyat di kawasan-kawasan yang kita menang.
“Kita (PAS) mesti menggunakan segala organ parti kita seperti Dewan Pemuda, Dewan Muslimat untuk mendekati mereka (rakyat). Wakil rakyat adalah wakil parti kita dan bukan mewakili peribadi (calon),”ujarnya.
Oleh itu, beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu berkata, bantulah wakil rakyat tersebut dalam apa juga bentuk bagi memudahkan kerja sama ada sumbangan, nasihat serta bimbingan sewaktu mereka sedang berkhidmat mewakili parti.
Menurutnya, kepentingan membantu wakil rakyat menjadi lebih penting lagi apabila kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Dato’ Seri Ahmad Said mengambil polisi menekan rakyat.
Katanya, polisi kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mahu melaksanakan pembangunan bagi membantu rakyat di kawasan-kawasan yang mereka (BN) kalah.
“Alangkah baiknya, jika kita (PAS) mempunyai kemampuan untuk kita buktikan bahawa PAS adalah dekat dihati mereka (rakyat) yang memerlukan bantuan dan pertolongan,”ujarnya.




























