Ustaz Hisham yakin kekalkan kemenangan, menawan Seberang Takir

1272

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Kuala Nerus (DPPKN) menyeru semua anak-anak muda, samada tokoh-tokoh muda dalam bidang agama dan profesional serta para aktivis, menyertai usaha membantu kemaraan Islam dalam bidang dakwah dan siasah.

Adun Tepoh, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim yang baru dipilih sebagai Ketua Pemudanya pada minggu lalu berkata, semua pemuda harus berganding bahu dan menggabungkan kepakaran dalam menghadapi kelicikan dan tipu daya musuh-musuh Islam.

“semua anak-anak muda dan anggota pemuda diseru untuk berganding bahu dan menawarkan kepakaran dalam memperkukuhkan jentera pemuda dan parti (Islam) dalam segenap aspek.

“Kami mengalu-alukan penyertaan semua golongan samada tokoh-tokoh muda dalam bidang agama, tokoh muda profesional dan anak-anak muda aktivis untuk membantu kemaraan pemuda ke kota siasah yang penuh dengan kelicikan dan tipu daya musuh,”ujarnya.

Dalam kenyataan pertamanya selaku Ketua Pemuda Kuala Nerus, Ustaz Hisham meletakkan objektif utamanya adalah penyertaan anak-anak muda untuk lebih mendekati PAS dan perjuangan PAS.

Oleh itu, beliau mengariskan dua elemen utama, elemen tarbiyah Islamiyah dan pendidikan siasah, bagi menjayakan proses pembinaan kader dakwah dan perjuangan politik ini dibawah kepimpinannya.

Hishamuddin
Selain itu, katanya, aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan dakan diperkasakan menjadi teras yang kukuh bagi semua pemuda dalam Kawasan Parlimen Kuala Nerus.

“Penyertaan anak-anak muda untuk lebih mendekati PAS dan perjuangan PAS akan terus (saya) dijadikan sebagai objektif utama dalam melakarkan gerak kerja DPPKKN bagi penggal ini.

“Justeru, elemen tarbiyah dan pendidikan akan diusahakan untuk menjayakan proses pembinaan kader dakwah dan perjuangan ini. Pemerkasaan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan juga akan dibentuk menjadi teras yang kukuh bagi pemuda-pemuda di Kuala Nerus,”jelasnya.

Walaupun amanah yang serahkan kepadanya amat berat, namun beliau percaya, dengan ‘pertolongan’ Allah dan suasana kerja yang kolektif serra berhemah dikalangan anggota pemuda PAS mampu menggalas tanggungjawab mempertahankan kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dun di Kuala Nerus.

Justeru, beliau yakin, degan strategi dan pendekatan yang sebaiknya akan diatur untuk melihat keupayaan menawan kerusi Dun Seberang Takir yang masih belum dimenangi PAS di kawasan Parlimen tersebut.

“Ia satu bebanan yang amat berat. Justeru, saya memohon pertolongan dari Yang Maha Esa untuk terus menyegarkan semangat perjuangan dan mengurniakan kelapangan serta jalan keluar untuk mendepani semua cabaran yang makin getir untuk dilalui,

“Saya yakin, rakan-rakan pimpinan yang lain akan mewujudkan suasana kerja yang kolektif dan berhemah untuk menggalas tanggungjawab mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Nerus dan tiga kerusi dun di Kuala Nerus.

“(dan) Dalam masa yang sama, strategi dan pendekatan yang sebaiknya akan diatur untuk melihat keupayaan menawan kerusi Seberang Takir,”katanya yakin.