Brazil dan Mexico meminta penjelasan Amerika Syarikat berhubung dakwaan bahawa Agensi Keselamatan Negara (NSA) Amerika telah mengintip perhubungan antara presiden kedua-dua negara itu.
Menteri Luar Brazil, Encik Luis Figueiredo, berkata pintasan terhadap maklumat Internet daripada Presiden Dilma Rousseff itu dilaporkan oleh seorang wartawan Amerika, Encik Glenn Greenwald [Gambar atas], dan jika terbukti benar, “merupakan pelanggaran kedaulatan Brazil yang tidak boleh diterima dan tidak boleh dibiarkan”.
Di Mexico, kementerian luarnya berkata ia telah mengirimkan satu nota diplomatik kepada Washington sambil menggesa diadakan satu “siasatan terperinci” terhadap dakwaan bahawa NSA mengintai e-mel Presiden Enrique Pena Nieto sebelum pemilihan beliau pada tahun lalu.
Mexico memberi amaran bahawa jika dakwaan itu benar, maka pengintipan tersebut adalah satu “pelanggaran terhadap hak antarabangsa” dan bahawa ia “menolak dan mengecam sebarang usaha pengintipan ke atas warga Mexico”.
Kedua-dua pemerintah itu telah memanggil duta-duta Amerika ke negara mereka, walaupun utusan Amerika ke Mexico berada di luar negara itu, semalam.
Seorang pegawai Jabatan Negara Amerika cuba tidak menghebohkan hal itu, sambil berkata bahawa “kami tidak akan membuat ulasan secara terbuka mengenai setiap dakwaan kegiatan risikan tertentu, kerana pada dasarnya kami telah menjelaskan bahawa Amerika mengumpulkan maklumat risikan negara asing yang sama dengan apa dikumpulkan oleh semua negara”.
Encik Greenwald, yang memperolehi fail-fail rahsia pembocor maklumat NSA, Edward Snowden, membuat laporan itu ekoran dakwaan berlakunya aktiviti pengintipan Amerika yang meluas di rantau Amerika Latin. – AFP.





























