Jom Bersama XPDC Dakwah Ambang Merdeka 2013

1043

Bagi menyambut Hari Merdeka pada 31 Ogos 2013, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menganjurkan XPDC Dakwah yang akan diadakan di kesemua lokasi sambutan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Dewan Pemuda PAS Negeri-negeri bersama DPP Kawasan-kawasan diamanahkan untuk menjayakan XPDC tahun ini.

xpdc dakwah merdeka1XPDC Dakwah telah dijayakan setiap tahun, bermula tahun 2000 sebagai acara tahunan DPPM dengan melibatkan pimpinan setiap peringkat. Tujuan utamanya sebagai suatu kesinambungan kerja-kerja dakwah kepada generasi muda. Generasi muda perlu dibimbing, dipandu dan dipimpin agar mereka tidak hanyut dalam kehidupan mereka. Selain itu, ia adalah peluang terbaik Pemuda PAS bertemu dengan golongan belia agar kehadiran Pemuda PAS di tengah masyarakat dirasai. Golongan belia perlu difahamkan mengenai makna kemerdekaan sebenar disamping isu-isu global yang membelenggu masyarakat supaya mereka prihatin terhadap nasib yang menimpa umat sejagat.

Antara aktiviti utama yang akan diadakan pada malam tersebut adalah edaran risalah, bertemu dan beramah mesra dengan anak-anak muda selain memperkenalkan pemimpin Pemuda PAS. Program ini akan bermula pada jam 10.00 malam dengan taklimat dan amanat pimpinan selain pembahagian kumpulan. Setiap kumpulan pula akan dipecahkan bagi mencapai sasaran bertemu seramai mungkin golongan belia  di lokasi tertentu.

Justeru, DPPM mengajak semua lapisan masyarakat termasuk parti-parti politik, NGO, badan dakwah, mahasiswa untuk bersama dalam XPDC Dakwah ini. Kesemua entiti yang akan bersama nanti digalakkan membawa kain sepanduk, bahan cetakan dan lain-lain sebagai bahan edaran kepada masyarakat untuk dikongsikan bersama peserta XPDC Dakwah tersebut.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Malaysia