Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta semua pihak agar menjaga sensitiviti amalan hidup agama masyarakat di Malaysia khususnya agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Ia susulan daripada kejadian sebuah surau di kawasan Tanjung Sutera Resort, Tanjung Sedili, Kota Tinggi Johor yang dijadikan sebagai tokong Buddha bagi acara ritual sembahyang mereka.
Kejadian ini menimbulkan persepsi dan persoalan yang besar kerana jarang terjadi penganut sebuah agama menjadikan rumah ibadat agama lain sebagai tempat ibadat mereka. Lebih dari itu, mengapa pihak resort yang beragama Islam sanggup membenarkan surau dijadikan sebagai tempat ritual penganut Buddha. Mengapa tiada sensitiviti bagi pemilik resort tersebut untuk mempertahankan surau di tempat beliau daripada diduduki dan dijadikan tempat sembahyang penganut Buddha.
DPPM menegaskan bahawa ajaran Islam tidak boleh sama sekali di samakan dengan agama lain. Islam mempunyai ibadat, amalan dan ajaran serta mempunyai rumah ibadat tersendiri. Agama Islam sama sekali melarang penganut agama lain menggunakan rumah ibadat agama Islam seperti Masjid atau surau (musolla) untuk digunakan sebagai tempat ibadat penganut agama lain. Menjadikan surau atau masjid sebagai tempat sembahan penganut agama lain adalah suatu penghinaan terhadap agama Islam. Bahkan, ia juga dianggap sebagai menyamakan agama Islam seperti agama lain. Doktrin ini disebut sebagai pluralisme yang sesat dan terkeluar dari Islam.
Seharusnya pihak kerajaan menyiasat kejadian ini sedalamnya. Pemilik resort wajar dikenakan hukuman yang berat sekiranya beliau bersalah kerana gagal menjaga insititusi agama sepenting surau dari dijadikan tempat sembahan penganut agama lain. Ia juga sebagai pengajaran buat semua rakyat Malaysia agar menghormati rumah-rumah ibadat yang sedia ada.
Kejadian ini juga menjadi pengajaran berharga kepada penganut agama Islam agar menghormati masjid dan surau. Rumah Allah wajar dijaga, dihormati serta dimakmurkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan. Rumah-rumah Allah tidak wajar disunyikan dari solat berjemaah, pengajian ilmu, tazkirah serta aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Mungkin ada hikmah tersembunyi yang dingin disingkapkan daripada kisah ini untuk pengetahuan masyarakat.
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia











