MARANG – Umat Islam diingatkan agar tidak berbohong kepada diri sendiri dalam menghitung sejauh mana sifat taqwa kepada Allah SWT berjaya dipupuk dalam diri sepanjang sebulan berpuasa.
“Allah SWT menurunkan al-Quran dengan sempurna yang mengajar kita (manusia) mengenal Tuhan. Al-Quran mengajar kita hidup bermasyarakat, berpolitik dan bernegara. Perlembagaan negara dan undang-undang di dalam negara dan undang-undang antarabangsa,” kata Ustaz Abdul Hadi Awang ketika menyampaikan khutbah Idulfitrinya di mimbar Masjid Rusila, Marang pada selepas solat sunat hari raya, 8 Ogos lalu.
Katanya, umat Islam diperintah oleh Allah SWT agar berpegang dengan ajaran Islam yang dibawa melalui al-Quran oleh Nabi Muhammad SAW secara keseluruhan dalam kehidupan.


“Ikut al-Quran semuanya, jangan main-main…ikut sebahagian (Islam) dan tinggal sebahagian yang lain. Sembahyang ikut Islam, puasa ikut Islam, haji ikut Islam. Ekonomi, politik, undang-undang, cara hidup tidak ikut Islam.
“Allah mengatakan orang yang ikut Islam sebahagian dan sebahagian lagi tidak ikut Islam adalah mengikut langkah-langkah syaitan. Itulah amaran Allah SWT,” tegasnya dihadapan 2,000 ahli jamaah masjid.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut memberi peringatan kepada umat Islam agar berwaspada dengan golongan munafiq yang berpura-pura dengan keIslamannya.
Kata Ustaz Abdul Hadi, golongan tersebut akan mempengaruhi orang Islam yang lemah imannya agar tidak menyakini Islam mampu menyelesaikan masalah manusia.
Bahkan, menurutnya golongan munafiq itu menjadi musuh dalaman yang boleh merosakkan aqidah diri dan masyarakat Islam.
“Orang munafiq yang mulutnya ‘beriman’ tapi hatinya menipu tidak beriman. ‘Telunjuknya lurus kelingkingnya berkait’ menjadi ‘gunting dalam lipatan’ dalam masyarakat Islam. Berpura-pura mengaku orang Islam (munafiq) dan dapat mempengaruhi orang Islam yang lemah imannya,” jelasnya.
Justeru itu, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, hanya Islam mampu menyelamatkan manusia setelah berlaku kegagalan petunjuk agama lain dari Islam.
Menurutnya, kegagalan ideologi ciptaan manusia hari ini hingga berlaku banyak jenayah serta penyakit dalam masyarakat kerana meninggalkan al-Quran.
“Kita yakin dan percaya ‘cahaya’ (Islam) ini akan dapat menyelamatkan manusia sekali lagi setelah gagalnya petunjuk-petunjuk agama lain dari Islam.
“Gagalnya ideologi-ideologi ciptaan manusia, gagalnya undang-undang ciptaan akal manusia, banyaknya jenayah, banyaknya penyakit di dalam diri jasad manusia dan masyarakat. Ini kerana, manusia meninggalkan al-Quran,” ujarnya.





























