Terengganu, Malaysia
Kenyataan Media

Tun Dr Mahathir Ajak Kerajaan Kembali Ke Belakang

http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/Actions-media-seek-backward-icon.png

Bekas Perdana Menteri yang sudah bersara lebih sepuluh tahun membuktikan kuku beliau masih lagi mencengkam dan gigi taring beliau masih lagi tajam untuk menusuk musuh-musuh politiknya.

Amat malang bagi Perdana Menteri sekiranya masih mendengar dan tunduk dengan kata-kata bekas PM itu. Sepatutnya Tun Dr Mahathir duduk diam dengan melihat perkembangan politik tanah air. Di depan beliau ada barisan kepemimpinan baharu PM bersama anggota kabinetnya yang menjalankan tugas ketika itu. Berikan sepenuh kepercayaan kepada mereka dan beliau tidak perlulah ‘ringan mulut’ membuat sebarang kenyataan kerana semua pihak merasa rimas dengan kemunculan beliau. Seolah-olah, dari segi jawatan rasminya beliau telah melepaskannya namun dari segi tugas beliau masih lagi menguasai dasar-dasar kerajaan.

Tun Dr Mahathir mahu kerajaan sekarang mengulangi sikap keras beliau semasa zaman pemerintahannya. Tidak hairanlah di zamannya, rakyat menggelarkannya sebagai diktator atau pemimpin kuku besi. Di zamannya, ISA paling aktif digunakan dengan beratus-ratus rakyat kebanyakannya pemimpin pembangkang dihumban ke penjara itu.

Apa yang menghairankan, kaedah berlembut yang dikatakan Tun Dr Mahathir digunakan oleh kerajaan sekarang sudah menahan ramai aktivis dan pemimpin Pakatan Rakyat, ada yang diheret dan didakwa di mahkamah, bagaimana pula jika pendekatan keras digunakan?

Dalam keadaan berlembut itu kerajaan sukar melepaskan Padang Merbok untuk dijadikan lokasi perhimpunan 22 Jun 2013, sesetengah lokasi perhimpunan di negeri-negeri terpaksa diubah saat akhir, media hampir mustahil dapat digunakan oleh semua pihak terutama Pakatan Rakyat, akhbar Harakah, Suara Keadilan dan Roket dirampas di kebanyakan negeri, pegawai-pegawai kerajaan diugut dan disogok supaya jangan menyokong PR, jentera kerajaan dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan manakala sistem pilihanraya dimanipulasi sedemikian rupa oleh SPR dan lain-lain agensi kerajaan, apakah itu masih berlembut?

Cukuplah kenyataan Tun Dr Mahathir menjadi peringatan keras buat Perdana Menteri supaya jangan mengulangi kesilapan bekas pemimpinnya itu. Tun Dr Mahathir pelopor kebangkitan rakyat sehingga tercetusnya peristiwa reformasi 1998 dan beliau antara punca UMNO ditolak dan dibenci oleh rakyat sehingga sekarang. Abaikan nasihat bekas PM dan sebaiknya PM tumpukan kepada usaha membangunkan negara disamping mendengar pandangan dan keluhan rakyat di bawah.

HJ NASRUDIN HASSAN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

 

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan