Perjalanan Malam Akhir Kempen; Asal Bukan Calon Dacing (ABCD)

1391
http://buletinonline.net/images/stories/aberita20/ABCD.jpg

Sampai di jalan masuk menuju ke Ibai Golf Resort, kenderaan sudah banyak diletakkan di ‘birai’ jalan, kerana keadaan yang penuh sesak untuk mendengar ucapan terakhir oleh calon PAS Dun Batu Burok Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan calon parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarulbahrin Shah, sebelum mengundi pada keesokan harinya.

Khalayak menjadi bertambah ramai apabila majlis itu turut membariskan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus sebagai salah seorang penceramahnya. Sebelum itu, solat hajat diadakan di dataran terbuka itu bagi memohon keselamatan dan keberkatan dari Allah, supaya PAS diberikan kemenangan dan kembali memerintah di negeri Terengganu.

http://buletinonline.net/images/stories/aberita20/munajat%20batu%20burok.jpgRatusan jamaah menyusun saf dan melaksanakan munajat ke hadrat Allah SWT diikuti dengan ucapan oleh Dr Syed Azman yang menyeru orang ramai yang hadir agar membuat perubahan, mengundi PAS.

Tujuan skuad BO ke dataran tersebut adalah kerana kami dimaklumkan, beberapa ‘ayahanda’ Pekida Terengganu akan mengisytiharkan sokongan terbuka kepada PAS. Malangnya kira-kira jam 10.30 malam, pengesahan daripada rakan-rakan media di tapak majlis itu menyatakan, ‘ayahanda’ tersebut tidak sempat ke situ kerana terpaksa menyampaikan taklimat keselamatan di sembilan buah lokasi, bagi menghadapi hari pengundian.

Kemudian, kami bergegas untuk menuju ke Alor Limbat untuk menepati janji temu pada jam 11.30 malam dengan calon bebas bagi Dun Alor Limbat, Ja’afar Jambol, yang memakai simbol cangkul dalam pilihanraya umum kali ke-13 ini.

Keadaan jalan rentas dari Chendering ke Gelugor sangat perlahan, kerana sesak dengan kenderaan. Memang sejak semalam, sewaktu skuad BO pergi dan balik ke Besut, jalan raya mula sesak dan kenderaan bertali arus kerana kepulangan anak-anak Terengganu di perantau untuk menyambut hari raya yang hanya berlaku limatahun sekali, pilihanraya umum.

http://buletinonline.net/images/stories/aberita20/munajat%20batu%20burok2.jpgDengan bantuan teknologi peta atas talian, kami berjaya mencari susur jalan kampung, yang kami yakin membawa ke jalan Gelugor, walau pun tidak pernah melaluinya. Rupa-rupanya ‘lorong tikus’ itu tembus betul-betul di markas BN Gelugor yang ketika kami melaluinya, sedang menayang video ucapan penceramah yang suka menyelitkan video seks dalam ceramah kempennya, Zainal Abidin.

Audiennya tidak lebih dari sepuluh orang yang separuh daripadanya, mereka masih dibawah umur. Sepanjang perjalananan sejak beberapa hari sebelum ini pun, suasana di markas-markaz Dacing agak suram, bukan seperti PRU atau PRK sebelum ini. Entah apa wabak yang melanda parti cap dacing pada kali ini menyebabkan pergerakan mereka amat lesu.

Dijalan-jalan raya juga, pelbagai kenderaan mengibarkan bendera bulan dan amat jarang sekali dapat dilihat ‘konvoi’ kenderaan yang memasang bendera dacing pada kenderaan mereka kecuali satu, sebanyak lima buah kereta yang kami temui di hadapan simpang empat Bukit Payong.

Pertemuan dengan calon cap cangkul terpaksa dilewatkan kerana Ja’afar dan skuad kempennya masih dalam program kempen terakhir, yang diberitahu kami kemudiannya, menjelajah semua markas-markas ‘Dacing’.
Sementara menunggu masa itu, skuad BO menyusuri masuk sedikit ke kawasan Dun Pengkalan Berangan untuk melihat perkembangan calon muda, Ustaz Sulaiman Sulong. Beliau kami temui di markas PAS Kampung Sungai Serai, sedang menikmati makan lewat malam, selepas keletihan ‘pusing’ di sekitar Dun tersebut.

http://buletinonline.net/images/stories/aberita20/Batu%20Burok.jpgKemudian kami berpatah balik ke Alor Limbat untuk meneruskan jelajah malam akhir, mencari sesuatu yang ‘unik’ untuk diberitakan kepada pengunjung BO.

Kira-kira jam 12.45 tengah malam, seperti yang dijanjikan Ja’afar muncul bersama skuad kempen empat orangnya, cuma empat orang. Namun begitu, menurutnya, empat orang itulah yang akan mecapai matlamatnya, untuk menjatuhkan dan mengalahkan calon BN bagi Dun Alor Limbat, Alias Abdullah.

Apabila ditanya, samada mereka mempunyai markas bagi gerakan mereka, salah seorang skuad kempen Ja’afar berkata, markas mereka adalah markas-markas BN, mereka bergerak dicelah-celah penyokong BN, untuk menumbangkan BN dari dalam.

Sebagai Bekas ahli jawatankuasa UMNO Cawangan Kampung Kubang Panjang, Ja’afar tahu selok belok dan kenal setiap ahli Umno dalam Dun Alor Limbat. Kehadiran beliau dalam arena pertandingan merebut kerusi Dun Alor Limbat menyebabkan ‘kem’ BN tidak senang duduk khususnya penyandang kerusi, Alias Abdullah.

http://buletinonline.net/images/stories/aberita20/JJ.jpgSepanjang kempen selama 15 hari, banyak dugaan yang beliau tempuhi, namun tidak memudarkan tekadnya untuk melihat BN tersungkur di Alor Limbat. Antaranya, kata beliau, ada ejen dari pihak BN yang menawarkan beliau wang sejumlah RM40,000. dengan syarat beliau menarik diri dari bertanding.

“ada orang datang berjumpa tawarkan wang RM40,000 dan menanggung segala perbelanjaan yang telah kami keluarkan, tapi bukan wang yang kami mahu, maruah kami tidak boleh dijual beli, kami mahu jatuhkan Alias,”jelasnya.

Oleh sebab itu, katanya, dalam kempen beliau ketika bertemu para pengundi, beliau meminta supaya kalau tidak mahu pangkah ‘ cap cangkul’, pangkahlah ‘cap bulan’. Dan kepada ahli Umno yang mahu berubah, kalau tak sanggup nak pangkah ‘bulan’ kata beliau, pangkahlah ‘cangkul’.

“saya tak kesah samada mereka mahu memangkah cangkul atau pun tidak, tetapi asalkan mereka tidak memangkah dacing sudah cukup, ABCD……. Asal Bukan Calon Dacing,”katanya.

Ja’afar yakin, melalui kempennya pada setiap hari, beliau meramalkan, BN akan kecundang di Dun Alor Limbat pada pilihanraya kali ini.