Beliau yang juga Penaung Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) berkata, satu memorandum bersama dengan tandatangan rakyat Terengganu akan diserahkan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said pada perhimpunan itu.
Menurutnya, ia adalah bagi menuntut penjelasan Ahmad mengapa saman royalti terhadap Petronas dan kerajaan Persekutuan ditarik balik yang disifatkan beliau satu kesilapan besar Ahmad.
Katanya, beliau dimaklumkan Ahmad selaku MB Terengganu tidak berbincang dengan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam mengambil keputusan itu.
“Saya ajak seluruh rakyat dapat bersama (saya) untuk turun…(berhimpun). Penyerahan (memorandum) ini penting kerana kita hendak beritahu kepada seluruh rakyat negeri Terengganu bahawa kita peka dan prihatin kepada isu royalti.
“Saya percaya Menteri Besar telah membuat satu kesilapan yang besar iaitu menarik balik saman royalti minyak ini tanpa diberitahu kepada rakyat termasuk Exconya sendiri dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu,” jelas beliau pada satu sidang media di kediamannya, Batu Burok, dekat sini, pada Isnin 18 Mac. [Lihat Video]
Menurutnya, isu penafian hak royalti Petroleum dan Gas Terengganu itu berlaku sejak tahun 2000 lagi ketika negeri di bawah pemerintahan kerajaan PAS.
Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanggol menegaskan royalti merupakan isu besar rakyat Terengganu yang belum selesai.
“Sekarang kes (saman) ini telah ditarik balik tetapi penyelesaiannya tidak ada apa-apa secara hitam-putih antara Ahmad Said (MB Terengganu) dengan pihak Petronas dan Kerajaan Persekutuan.
“Apakah terma-terma yang dipersetujui secara bersama hingga saman itu ditarik balik oleh kerajaan negeri. Sedangkan, hutang (kerajaan pusat kepada negeri) masih banyak hingga mencecah berbilion atau ribu juta,” dakwanya.
Menurutnya, kerajaan wajar memberi penjelasan kepada rakyat yang mempersoalkan faedah diperolehi oleh negeri dengan penarikan balik saman tersebut.









