Majlis itu yang telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah adalah untuk meningkatkan motivasi kepada para petugas supaya dapat mengerahkan seluruh tenaga untuk mengekalkan kemenangan PAS di DUN tersebut dan parlimen Marang.
Selain itu, belau berharap, ahli dan para petugas PAS dapat melipatgandakan usaha dan kerja-kerja pilihanraya, bagi merealisasikan PAS Ganti Umno dan mengambil alih semula pemerintahan kerajaan negeri Terengganu.
Dalam ucapannya, Ustaz Mohd Nor menyatakan bahawa rakyat sekarang sudah cerdik dengan tidak menerima bulat-bulat apa yang dihidangkan oleh pemerintah baik dengan berita ataupun kebendaan.
“Rakyat terutama orang muda sekarang ini sudah cerdik. Mereka ambil apa yang diberikan, tetapi bila undi, mereka fikir dulu sebab undi adalah hak mereka,” ujar beliau.
Ini bermakna menurut beliau lagi, keadaan sekarang sudah tidak semestinya memihak kepada pihak yang memberikan wang atau apa-apa kebendaan bagi memujuk pengundi seperti keadaan zaman dahulu.
Perkara ini berlaku adalah hasil dari penyebaran maklumat berterusan tanpa jemu dari petugas-petugas PAS yang sangat komited dalam tugasan mereka bagi menyedarkan rakyat akan tipu daya dalam politik.
“Maklumat seperti wang kerajaan adalah wang dari rakyat dan bukan hak mutlak kerajaan sudah difahami oleh sebilangan besar rakyat sekarang.
Buktinya sehingga sekarang pilihanraya belum diisytiharkan menunjukkan ketakutan dan keyakinan Umno bahawa rakyat menolak mereka sekarang ini,” tambah beliau.
Contoh kesungguhan penyebaran maklumat seperti inilah yang sangat dituntut dari petugas-petugas bagi membantu pimpinan PAS untuk mengalahkan musuh khususnya dalam pilihanraya yang semakin hampir.
Beliau kemudiannya mengingatkan semua agar menetapkan keikhlasan dalam hati supaya sentiasa pekerjaan ini dikira sebagai pahala di sisi Allah.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd Nor bagi memohon keberkatan dalam pekerjaan ini.


























