Terengganu, Malaysia

To’ Puan Zaitun Terima Anugerah Nusaibah, Sembilan Muslimat Dihargai

To’ Puan Zaitun Terima Anugerah Nusaibah, Sembilan Muslimat Dihargai

KUALA TERENGGANU – Pengorbanan sembilan wanita yang istiqamah mencurah khidmat dalam perjuangan dan kebajikan mendapat penghargaan menerusi Anugerah Nusaibah, dengan To’ Puan Zaitun Salleh dinobatkan sebagai penerima bagi peringkat Negeri Terengganu Sempena Teguh Memimpin Terengganu 2.0 di Dewan Arena Square, Dungun.

Pengiktirafan itu bukan sekadar meraikan nama dan jawatan yang disandang, sebaliknya mengangkat ketabahan wanita yang terus memberi khidmat walaupun berdepan tuntutan keluarga, masyarakat dan amanah perjuangan.

To’ Puan Zaiton, isteri kepada Allahyarham Dato’ Abu Bakar Chik dan ibu kepada lapan cahaya mata, merupakan Ahli Jawatankuasa serta Naqibah Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, selain turut terlibat di peringkat kawasan dan cawangan.

Sementara itu, lapan lagi penerima mewakili kawasan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Penerima dari Besut, Rosimah Mat Salleh misalnya, aktif sebagai Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial Dewan Muslimat PAS Kawasan Besut serta Ahli Jawatankuasa NGO Pewanis.

Nor Azlin Farilah Hashim dari Setiu pula merupakan Ahli Jawatankuasa Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu serta Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu.

Bagi Kuala Nerus, penghargaan diberikan kepada Norizan Husin yang memegang amanah sebagai Penolong Setiausaha Satu dan Ketua Protokol Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu selain Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kuala Nerus serta aktif dalam NGO Khadijah dan Pewanis.

Rahimah Muda pula menerima pengiktirafan bagi Kuala Terengganu, manakala Wan Mariam Wan Jusoh mewakili Marang dengan penglibatan dalam Jabatan Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu dan sebagai Pengerusi Pertubuhan Ibu Tunggal Daerah Marang.

Di Hulu Terengganu, penerima ialah Noriah Said yang turut menggalas amanah sebagai Timbalan Ketua Muslimat DUN Telemong dan Ahli Jawatankuasa Majlis Tindakan DUN Telemong.

Norizan Wahab pula menerima anugerah bagi Dungun atas penglibatan dalam Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan serta Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial, manakala Hajah Esah Mohamad mewakili Kemaman.

Namun di sebalik senarai jawatan dan tanggungjawab itu, terselit cerita yang lebih dekat dengan hati.

Mereka bukan sekadar nama yang dipanggil ke pentas.

Mereka ialah wanita yang memilih untuk terus hadir ketika diperlukan, ketika diuji dan ketika tenaga mungkin sudah berbaki sedikit.

Ada yang menghabiskan masa mengurus kebajikan masyarakat. Ada yang turun menggerakkan pilihan raya. Ada yang bersama NGO. Ada yang membantu keluarga dan golongan memerlukan.

Dan mungkin tidak semua pengorbanan itu sempat dilihat.

Tetapi pada hari mereka menerima Anugerah Nusaibah, segala khidmat yang selama ini dilakukan tanpa banyak bicara seolah-olah menemukan satu titik penghargaan.

Nama Nusaibah sendiri membawa simbol keberanian dan keteguhan.

Dalam sirah, Ummu Umarah atau Nusaibah dikenang kerana keberaniannya mempertahankan Rasulullah SAW ketika Perang Uhud, termasuk sanggup berdepan bahaya dan menanggung luka demi mempertahankan agama yang dicintainya.

Justeru, semangat itu diangkat untuk terus menjadi inspirasi kepada generasi muda muslimat supaya berani apabila diuji, teguh apabila digoncang dan tidak mudah berpaling daripada amanah.

Perjuangan tidak selamanya tentang siapa paling kuat atau paling menonjol.

Kadangkala perjuangan hanya tentang terus bertahan dan terus memberi.

Sembilan wanita itu mungkin datang dari latar dan kawasan berbeza, tetapi mereka dipertemukan oleh satu persamaan kesediaan untuk berkorban dan istiqamah dalam amanah yang dipikul.

“Biar lelah, jangan mengalah”.

Pesanan itu bukan hanya untuk mereka yang menerima anugerah, tetapi untuk generasi yang bakal menyambung langkah selepas mereka.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan