Terengganu, Malaysia

Kerjasama Dengan Umno Diperkukuh Hadapi PRU16

Kerjasama Dengan Umno Diperkukuh Hadapi PRU16

DUNGUN – PAS telah menunjukkan kesediaan untuk berkompromi secara mantap dalam usaha memperkukuh kerjasama politik bersama UMNO, termasuk melalui pendekatan pembahagian kerusi secara rundingan dan berasaskan semangat persaudaraan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kesediaan itu telah dibuktikan menerusi perkembangan kerjasama di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, manakala perbincangan bagi kawasan lain akan ditentukan berdasarkan perkembangan serta keadaan setempat.

“Kita telah menunjukkan kompromi yang sangat mantap, bermula dengan Johor, kemudian Negeri Sembilan dan lebih mantap lagi di Melaka.

“Adapun di tempat-tempat lain, akan dibincangkan semula mengikut perkembangan,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Program Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2.0 sempena Sambutan 70 Tahun PAS Kawasan Dungun, di sini semalam.

Mengulas lanjut mengenai pembahagian kerusi, beliau menjelaskan bahawa PAS turut menerima pendekatan status quo dalam rundingan tertentu, termasuk pembahagian 21 kerusi kepada UMNO dan tujuh kerusi kepada PAS di kawasan yang dipersetujui.

Kerjasama Dengan Umno Diperkukuh Hadapi PRU16

Menurutnya, pendekatan kompromi itu perlu dilihat dalam kerangka lebih besar bagi memelihara hubungan antara kedua-dua kelompok politik, bukannya semata-mata berdasarkan kepentingan untuk mendapatkan sebanyak mungkin kerusi.

“Yang penting ialah persaudaraan antara dua kumpulan ini. Itu yang penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menegaskan bahawa kompromi dalam rundingan politik tidak seharusnya diletakkan pada satu pihak sahaja, sebaliknya semua pihak perlu bersedia berlapang dada dan mengalah demi mencapai persefahaman.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan prinsip status quo di negeri-negeri lain termasuk Terengganu, Kedah dan Kelantan perlu mengambil kira keadaan setempat serta dibincangkan melalui saluran kepimpinan parti.

Dalam hal itu, beliau menegaskan bahawa keputusan berkaitan kerjasama dan pembahagian kerusi, termasuk melibatkan negeri-negeri dalam gagasan SG4, perlu diputuskan oleh kepimpinan pusat dan bukannya dibuat secara berasingan oleh kerajaan negeri.

“Jangan kita buat sebarang keputusan muktamad, melainkan melalui pusat. Pusat akan membuat keputusan, bukan negeri,” katanya.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan