Terengganu, Malaysia

As-Sabiqun Perkasa Muafakat, 33.91 Peratus Ahli PAS Berusia 60 Tahun

As-Sabiqun Perkasa Muafakat, 33.91 Peratus Ahli PAS Berusia 60 Tahun

Oleh: RR, Hafiz Sahidi

DUNGUN – Dewan As-Sabiqun PAS bersedia menerajui usaha memperkukuh muafakat politik bersama Barisan Nasional (BN), dengan memanfaatkan kekuatan pengalaman dan jaringan golongan veteran yang membentuk 33.91 peratus daripada keseluruhan keahlian PAS di seluruh negara.

Ketua Dewan As-Sabiqun PAS Pusat, Ustaz Mohamad Noor Mohamad berkata, komitmen itu antara resolusi yang diputuskan menerusi Konvensyen As-Sabiqun 2026 bagi memastikan golongan berusia 60 tahun ke atas terus memainkan peranan dalam arus perdana parti.

Menurutnya, daripada keseluruhan 1,117,218 ahli PAS di seluruh negara, seramai 378,875 orang merupakan ahli berusia 60 tahun ke atas.

“Dalam suasana muafakat dengan rakan-rakan kita dalam Barisan Nasional, salah satu daripada resolusi itu adalah untuk kita mengukuhkan muafakat dan As-Sabiqun akan menjadi peneraju kepada pengukuhan muafakat ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Dialog As-Sabiqun Terengganu sempena Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2.0 di Arena Square, Dungun, hari ini.

Tambahnya, jumlah tersebut membuktikan golongan veteran mempunyai kekuatan tersendiri yang perlu dimanfaatkan, bukan sahaja berdasarkan pengalaman panjang dalam perjuangan, malah melalui jaringan dan pengaruh mereka dalam masyarakat.

As-Sabiqun Perkasa Muafakat, 33.91 Peratus Ahli PAS Berusia 60 Tahun

“Ini yang kita nak tekuni untuk kita pastikan sahabat-sahabat kita yang berumur 60 tahun ke atas ini terus bersama-sama dengan arus perdana parti, Parti Islam Se-Malaysia PAS,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengalaman PAS menjalinkan pelbagai bentuk kerjasama politik sebelum ini menunjukkan pendekatan muafakat tidak semestinya merugikan parti, sebaliknya berupaya memperluas penerimaan masyarakat.

“Setiap muafakat kita, kita menampakkan bahawa dari semasa ke semasa PAS sentiasa meningkat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Terengganu turut mempunyai kelompok veteran yang besar apabila daripada 157,446 ahli PAS negeri itu, seramai 41,931 orang atau 26.63 peratus berusia 60 tahun ke atas.

Di Dungun pula, daripada 19,434 ahli PAS, seramai 4,690 orang atau 24.13 peratus merupakan golongan dalam lingkungan usia berkenaan.

Jelasnya, angka itu memperlihatkan kepentingan memastikan anggota veteran terus diberi ruang menyumbang pengalaman, kemahiran dan jaringan mereka dalam organisasi serta gerak kerja parti.

As-Sabiqun Perkasa Muafakat, 33.91 Peratus Ahli PAS Berusia 60 Tahun

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Konvensyen As-Sabiqun 2026 merupakan konvensyen terakhir sebelum Dewan As-Sabiqun PAS Pusat mengadakan muktamar pada tahun hadapan.

Secara berseloroh, beliau menyifatkan Dewan As-Sabiqun sebagai dewan paling muda dari segi penubuhan, tetapi dianggotai golongan paling berusia.

Malah, katanya, jemputan program turut disertakan nota meminta peserta membawa ubat masing-masing, menggambarkan realiti keanggotaan dewan berkenaan.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan