MELAKA – Memastikan tiada penduduk tercicir daripada menikmati manfaat kebajikan menjadi antara keutamaan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif sekiranya diberikan amanah oleh rakyat.
Beliau berkata, hasrat itu merangkumi kira-kira 35,000 pengundi di kawasan berkenaan dengan memberi perhatian kepada penduduk yang masih berdepan kekurangan serta memerlukan bantuan.
Menurutnya, pendekatan turun padang dari rumah ke rumah akan menjadi antara usaha untuk mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat, termasuk keluarga yang mungkin masih belum mendapat perhatian sewajarnya.
“Hajat saya sangat besar untuk memastikan seluruh pengundi di DUN Bukit Katil ini dapat sama-sama menikmati dan merasai nikmat kebajikan.
“Mungkin ada dalam kalangan kita yang ketinggalan dan masih memerlukan bantuan. Maka, inilah hasrat saya bersama jentera untuk memastikan seluruh penduduk mendapat manfaat kebajikan tersebut,” jelasnya dalam satu ceramah berkelompok, semalam.
Tambahnya, setiap rumah di lorong dan jalan sekitar kawasan itu akan diberikan perhatian bagi mengenal pasti golongan yang memerlukan serta menawarkan khidmat bersesuaian.
“Mungkin ada di antara kita yang ketinggalan, mungkin ada di antara kita yang masih memerlukan.
“Maka inilah hasrat kami, hasrat saya dan kita selaku jentera untuk memastikan seluruh penduduk di DUN Bukit Katil ini untuk mendapat manfaat, mendapat kebajikan tersebut. Kita akan pastikan setiap satu rumah di lorong-lorong, jalan-jalan, mana-mana yang menghadapi kekurangan dan sebagainya, rujukan kami untuk kami menawarkan perkhidmatan, untuk kami menginfakkan diri kami ini untuk kebajikan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ridzuan turut meletakkan pendidikan sebagai satu lagi keutamaan bagi melahirkan generasi berilmu, beriman dan mengamalkan ilmu yang dipelajari.
Katanya, peluang mendapatkan pendidikan terbaik perlu diberikan kepada generasi muda supaya mereka mampu membina masa depan yang lebih baik.
“Ini dua perkara yang sangat penting bagi saya, iaitu kebajikan dan pendidikan,” katanya.









