MELAKA – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diharap menjadi titik perubahan kepada landskap politik negara dengan kemunculan sebuah kerajaan baharu yang lebih telus, berkebajikan dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Timbalan Yang Dipetua PAS Kemaman, Dato’ Hanafiah Mat berkata, perubahan kepimpinan yang diharapkan itu perlu memberi perhatian khusus kepada kebajikan serta aspirasi golongan anak muda yang menjadi antara kelompok penting dalam pembangunan negara.
Menurutnya, rakyat bukan sahaja mengharapkan perubahan politik, malah mahu melihat sebuah kerajaan yang lebih baik dari segi pentadbiran, ketelusan dan integriti tanpa amalan rasuah.
“Saya yakin dan percaya PRN Melaka ini akan mengubah landscap baru politik negeri mungkin ke arah negara dengan gelombang biru akan mencapai kejayaan dan akan memerintah negeri bersama dengan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.
“Yang saya harapkan bahawa pemerintahan kali ini akan memberi tempuan yang lebih kepada kebajikan anak-anak muda ke arah merealisasikan apa kehendak anak-anak muda pada waktu ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah, harapan itu turut mencerminkan keinginan rakyat untuk melihat perubahan ketara melalui pentadbiran yang lebih bertanggungjawab, bersih dan mengutamakan kebajikan masyarakat.
“Saya juga berharap PRN kali ini membawa kepada pembentukan sebuah kerajaan baharu yang lebih baik, telus, mengutamakan kebajikan rakyat serta bebas daripada amalan rasuah.
“Inilah harapan kita dan masyarakat yang mahukan perubahan ketara dalam pentadbiran negeri dan negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan gerak kerja petugas bagi membantu persiapan PRN Melaka melibatkan 14 petugas wajib bagi setiap kawasan dalam setiap gelombang.
Jumlah itu merangkumi petugas pimpinan, ulama dan as-sabiqun, Muslimat, Ameerah, Pemuda, bilik gerakan serta petugas keselamatan dan pemandu.
Setiap kawasan juga perlu menghantar dua petugas tetap bagi mengendalikan Bilik Operasi Kawasan sepanjang tempoh bertugas di Melaka, yang boleh dibahagikan kepada dua gelombang selama seminggu setiap satu.








