MELAKA – Pendekatan mendekati pengundi secara bersemuka diteruskan PAS Terengganu menerusi siri ziarah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil bagi menyantuni penduduk setempat.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kunjungan terbaharu itu dilaksanakan bersama Muslimat DUN Ladang di sekitar Taman Merak Mas.
Menurutnya, penduduk yang ditemui memberikan sambutan baik terhadap kunjungan rombongan berkenaan serta calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif.
Beliau berkata, rata-rata penduduk turut menyuarakan harapan agar semangat kebersamaan dan perpaduan ummah terus diperkukuh.

“Alhamdulillah, penduduk yang ditemui memberikan sambutan baik terhadap calon Perikatan Nasional bagi DUN Bukit Katil, Saudara Ridzuan Sarif.
“Rata-rata pengundi di sini juga menyambut baik semangat kebersamaan dan mengharapkan perpaduan ummah terus diperkukuh,” katanya menerusi perkongsian di media sosial, semalam.
Wan Sukairi menambah, kunjungan seumpama itu turut menjadi ruang mengeratkan hubungan silaturahim dengan masyarakat setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk yang sudi menerima kunjungan rombongan berkenaan.









