Antara tanda-tanda besar dunia sudah hampir ajalnya, apabila amanah dihilangkan dan munculnya Dajjal.
Berkenaan amanah, Abu Hurairah RA menceritakan:
بَيْنَمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَجْلِسٍ يُحَدِّثُ الْقَوْمَ، جَاءَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ: مَتَى السَّاعَةُ؟ فَمَضَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحَدِّثُ، فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ: سَمِعَ مَا قَالَ، فَكَرِهَ مَا قَالَ. وَقَالَ بَعْضُهُمْ: بَلْ لَمْ يَسْمَعْ.
Bahawa sedang Nabi SAW berbicara bersama para sahabat RA, tiba-tiba datang seorang Badwi (penduduk pedalaman padang pasir) terus bertanya Rasulullah SAW, “Bilakah berlakunya Kiamat (seluruh alam dimusnahkan)?” Rasulullah SAW tidak menjawab (tidak melayan) soalannya dan meneruskan pembicaraannya. Ada kalangan kami yang berfikir, mungkin Rasulullah SAW murka kerana caranya tidak beradab. Ada pula yang berfikir, mungkin Baginda tidak memberikan perhatian kerana menumpukan perkara penting yang menjadi perbualannya.
حَتَّى إِذَا قَضَى حَدِيثَهُ قَالَ: أَيْنَ أُرَاهُ السَّائِلُ عَنِ السَّاعَةِ. قَالَ: هَا أَنَا يَا رَسُولَ اللهِ، قَالَ: فَإِذَا ضُيِّعَتِ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ. قَالَ: كَيْفَ إِضَاعَتُهَا؟ قَالَ: إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ.
Setelah Rasulullah SAW menyelesaikan pembicaraannya, tiba-tiba Baginda bertanya, “Di mana orang yang bertanya tentang Kiamat tadi?” Si Badwi itu pun menjawab, “Saya, wahai Rasulullah!” Lalu Baginda bersabda, “Apabila dihilangkan amanah (kewajipan yang wajib ditunaikan), maka tunggulah Kiamat!” Si Badwi meneruskan soalannya, “Bagaimana cara amanah dihilangkan?” Rasulullah SAW pun menjawab, “Apabila urusan pemerintahan umat diserahkan kepada orang yang tidak layak, maka tunggulah masa berlakunya Kiamat (kemusnahan alam)!” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, no. 59, daripada Abu Hurairah]
Amanah paling besar ialah amanah memimpin manusia yang menjadi suatu kesalahan besar apabila diberikan kepada orang yang tidak layak kerana sifat fasiq seperti suka berbohong dan lain-lain. Demikian juga sifat rakus meminta-minta menjadi pemimpin demi mendapatkan kepentingan duniawi dan menganggap amanah kepimpinan bukanlah perkara besar di sisi Allah. Hal ini demikian kerana, mereka hanya melihatnya sebagai peluang untuk meraih kesenangan dan mencapai wawasan dunia tanpa memikirkan wawasan akhirat.
Firman Allah SWT:
تِلۡكَ ٱلدَّارُ ٱلۡأٓخِرَةُ نَجۡعَلُهَا لِلَّذِينَ لَا يُرِيدُونَ عُلُوّٗا فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فَسَادٗاۚ وَٱلۡعَٰقِبَةُ لِلۡمُتَّقِينَ ٨٣
“Negeri akhirat itu Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah al-Qasas: 83]
Sabda Rasulullah SAW:
إِذَا كَانَ المَغْنَمُ دُوَلًا، وَالأَمَانَةُ مَغْنَمًا.
“Apabila harta rampasan (atau keuntungan) hanya berlegar dalam kalangan golongan tertentu, dan amanah dianggap sebagai peluang untuk memperoleh keuntungan.” [Hadis riwayat al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-Fitan, no. 2210, daripada ‘Ali bin Abi Talib]
Amanah paling besar ialah berlaku adil kepada seluruh manusia apabila memerintah dan mentadbir, sepertimana firman Allah SWT:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]
Demikian juga berlaku adil, termasuklah terhadap musuh. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنََٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]
Allah SWT ialah Tuhan Pencipta alam Yang Maha Berkuasa, Maha Adil, Maha Penyayang dan Maha Rahmah kepada semua makhluk dan hamba-Nya. Dia memberikan rezeki kepada semua hamba-Nya, sama ada yang beriman dan beramal soleh mahupun mereka yang paling kafir dan derhaka kepada-Nya.
Allah SWT mewajibkan sifat adil kepada diri-Nya dan mengharamkan diri-Nya berlaku zalim, walaupun Dia bersifat Maha Berkuasa.
Kemuncaknya ialah kelahiran Dajjal (pembohong paling besar) yang berkuasa menakluki dunia dan memaksa orang ramai mentaatinya dengan sogokan kesenangan hidup. Sesiapa yang menentangnya pula akan diseksa.
Rasulullah SAW menyatakan bahawa sebelum kemunculan Dajjal yang paling besar, akan muncul beberapa dajjal kecil di seluruh dunia yang menjadi bala tenteranya.
Kemunculan Confidence and Supply Agreement (CSA) atau dalam Bahasa Melayu sebagai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan, ialah satu bentuk persetujuan politik di Parlimen. Melalui persetujuan ini, blok pembangkang atau Ahli Parlimen bebas bersetuju untuk memberikan sokongan bersyarat kepada pihak kerajaan.
CSA adalah pendekatan Dajjal pada akhir zaman yang menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang wajib ditunaikan kepada semua, tetapi memaksa untuk terus berkuasa. Walaupun tidak berlagak menjadi tuhan laksana Dajjal yang besar, tetapi tetap melaksanakan sifat-sifat Dajjal.
Sudah menjadi amalan di negara-negara seluruh dunia bahawa hasil negara ialah hak seluruh rakyat. Hal ini termasuklah hasil yang diperoleh secara langsung daripada pelbagai bentuk cukai seperti cukai barangan, pakaian, makanan, kenderaan, tempat kediaman dan segala kelengkapannya, sama ada dari dalam negara atau yang diimport. Hasil percukaian ini melibatkan penggunaan dan keperluan seluruh rakyat, maka faedahnya wajib dipulangkan kepada semua rakyat, tanpa mengira sama ada mereka mengundi parti kerajaan ataupun parti pembangkang.
Mana-mana parti yang menjadi kerajaan wajib menunaikan amanah kepada rakyat secara langsung tanpa perlu membuat aku janji terlebih dahulu. Hal ini laksana seorang lelaki yang bakal menjadi suami yang tidak perlu berjanji atau menandatangani aku janji ketika akad nikah untuk melaksanakan tanggungjawab memberikan nafkah apabila menjadi ketua keluarga.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 23 Jumada al-Ula 1448 / 3 November 2026
[Bil: 71 / 2026]










