KUALA TERENGGANU – Seramai 330 anggota Jabatan Amal Malaysia Negeri Terengganu berjaya dihimpunkan menerusi program Himpunan dan Majlis Makan Malam Jabatan Amal Negeri Terengganu sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Jabatan Amal Terengganu, Mohd Hasmizie Hasan berkata, himpunan itu antara lain bertujuan mengumpulkan petugas bagi memperkukuh kesiapsiagaan jentera menghadapi kemungkinan bencana banjir sepanjang musim tengkujuh.
Menurutnya, setiap kawasan di seluruh Terengganu telah membuat persiapan masing-masing dengan kekuatan anggota dan aset berada pada tahap 100 peratus.
“Alhamdulillah, program semalam berjaya menghimpunkan seramai 330 anggota dari seluruh Terengganu.
“Antara tujuan program ini adalah untuk mengumpulkan petugas bagi persiapan menghadapi MTL, dan setiap kawasan juga sudah bersiap sedia sepenuhnya,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, kekuatan petugas turut melibatkan anggota Pemuda PAS di setiap kawasan dan sokongan daripada PAS kawasan bagi memastikan gerak kerja bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun.
Katanya, Jabatan Amal Terengganu optimis dapat menggerakkan seluruh kekuatan anggota dan aset yang tersedia sekiranya diperlukan sepanjang tempoh MTL.
“Insya-Allah, kekuatan anggota dan aset kita berada pada tahap 100 peratus sebagai persediaan menghadapi MTL,” ujarnya.








