KUALA TERENGGANU – Perikatan Nasional (PN) akan meletakkan calon yang benar-benar berpotensi membawa kemenangan dan ;akan menggunakan logonya sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, nama-nama yang dihantar oleh parti dalam gabungan itu dipilih bukan sekadar untuk mencukupkan kerusi bertanding, sebaliknya dinilai kerana mempunyai peluang cerah untuk menang.
“Kita sudah menerima senarai nama calon daripada parti rakan. Pemilihan ini dibuat secara teliti bagi memastikan calon yang ditampilkan benar-benar berwibawa dan mampu meraih sokongan rakyat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mengenai agihan kerusi, beliau memaklumkan bahawa semua parti komponen telah mencapai kata sepakat secara baik mengikut prinsip asas yang dipersetujui bersama sebelum ini.
Selain itu kata beliau, wakil-wakil parti juga telah mengadakan pertemuan awal bagi menyelaras gerak kerja supaya petugas kempen (jentera parti) dapat bekerjasama rapat dan bergerak sebagai satu pasukan yang kuat.
Sementara itu, Naib Presiden PAS itu menegaskan, isu lambang atau logo parti pada kertas undi, perlu mengikut peraturan parti dan undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) demi menjaga keharmonian muafakat gabungan itu.
Katanya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu menyelaraskan urusan teknikal mengikut saluran rasmi dan peraturan yang ditetapkan oleh gabungan tersebut.
Beliau menambah, pihak Bersatu perlu memberi penjelasan lanjut mengenai kaedah yang bakal mereka gunakan untuk menggunakan lambang berkenaan dalam pilihan raya.
“Kena tanya balik kepada Bersatu macam mana mereka mahu gunakan logo PN. Penandatangan rasmi bagi penggunaan logo PN yang telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah Pengerusi Perikatan Nasional.
“Jadi, perkara ini kena tanya pihak Bersatu semula,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Justeru, beliau mengesahkan gabungan tersebut tetap dengan pendirian untuk bertanding menggunakan lambang sendiri, iaitu logo PN.
Sebelum ini, timbul persoalan mengenai ketetapan Bersatu yang memutuskan untuk bertanding menggunakan lambang PN, yang memerlukan penyelarasan rasmi dari segi undang-undang pilihan raya bagi mengelak sebarang kekeliruan.
PN secara rasmi akan mengisytiharkan calon-calon yang akan bertanding mewakili gabungan tersebut pada satu Majlis di Bukit Katil, Melaka malam esok, kira-kira sehari sebelum penamaan calon PRN Melaka pada Sabtu, 31 Oktober










