Kekayaan Negara Tidak Boleh Dimonopoli

12

KUALA TERENGGANU — Harta kekayaan negara tidak seharusnya dimonopoli oleh golongan tertentu, sebaliknya perlu diurus secara adil supaya manfaatnya dapat dinikmati seluruh rakyat.

Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang berkata, prinsip itu antara yang ditunjukkan Khalifah Umar bin al-Khattab RA ketika mengurus tanah-tanah yang dibuka dalam pemerintahan Islam.

Menurutnya, cadangan supaya tanah dibahagikan kepada tentera sebagaimana harta rampasan perang tidak dipersetujui Khalifah Umar RA kerana tanah merupakan harta yang tidak boleh dipindahkan dan manfaatnya boleh dinikmati dalam tempoh yang panjang.

“Tanah dan hasilnya perlu diurus dengan cara yang lebih menyeluruh agar tidak hanya memberi manfaat kepada kelompok tertentu,” katanya ketika menyampaikan Kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila, di sini.

Abdul Hadi berkata, Islam menetapkan kekayaan negara hendaklah diurus supaya tidak hanya berlegar dalam kalangan orang kaya.

Sebaliknya kepentingan golongan fakir, orang yang berhijrah, masyarakat yang memerlukan serta generasi akan datang turut diberikan perhatian.

Katanya, pemerintah mempunyai amanah untuk mengurus harta negara dengan kebijaksanaan melalui syura dan berdasarkan hukum Allah SWT.

“Ini antara bentuk keadilan dan al-Wasatiyyah dalam Islam. Kekayaan yang banyak bukan alasan untuk diberikan kepada kelompok tertentu sahaja,

“Sebaliknya ia merupakan amanah yang perlu ditadbir dengan adil supaya manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat secara lebih menyeluruh,” jelasnya.