Terengganu, Malaysia

Israel Terus Mengganas di Sempadan Gaza

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita9/tanks%20israel-gaza%20border.jpg

Perdamaian sementara dipercayai dapat menangguhkan serangan tentera darat Israel ke Jaluran Gaza.

Usaha diplomatik untuk mencapai perdamaian sementara turut melibatkan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton; ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),  Ban Ki-moon; dan Presiden Mesir, Encik Mohamed Mursi.

Namun, perjanjian mengakhiri serangan Israel terhadap Hamas yang melancarkan roket dari Jaluran Gaza nampaknya sukar dicapai.

Pemerintah baru Mesir, yang menjadi pengantara rundingan, melahirkan harapan agar gencatan senjata antara Israel dengan Hamas, gerakan Islam yang menguasai Gaza, dapat dilaksanakan lewat kelmarin.

Namun, menjelang pertemuan Hillary Clinton dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, lebih banyak pertempuran dan keganasan dijangka berlaku sebelum perdamaian sementara dapat dicapai.

[Gambar – Sementara perjanjian gencatan senjata dicapai, Israel menghantar kereta-kereta kebal, terus menggayang umat Islam Palestin di empadan Israel-Gaza]

Hillary Clinton, yang terbang ke Kahirah untuk bertemu Presiden Morsi lewat semalam, ada menyebut tentang perjanjian “dalam masa beberapa hari mendatang”.

Kelmarin, Amerika telah menghalang satu kenyataan Majlis Keselamatan PBB yang mengutuk konflik antara Israel dengan Hamas kerana menurutnya kenyataan itu “gagal merujuk kepada punca utama” konflik tersebut iaitu serangan roket Palestin.

Akhbar paling laris Israel, Yedioth Ahronoth, melaporkan lakaran perjanjian gencatan senjata memerlukan Mesir mengumumkan gencatan senjata selama 72 jam disusuli perbincangan lanjut tentang persefahaman jangka panjang.

Di bawah dokumen yang diusulkan itu, yang menurut akhbar tersebut tidak memerlukan tandatangan mana-mana pihak, Israel akan menghentikan tembakan, mengakhiri serangan terhadap pemimpin Hamas dan berjanji akan mengkaji cara melonggarkan sekatan ke Jaluran Gaza.

Menurut laporan itu, Hamas pula perlu berikrar tidak akan menyerang sebarang sasaran Israel dan memastikan puak Palestin lain di Jaluran Gaza juga akan menghentikan serangan mereka.

Satu sumber politik Israel berkata perbezaan utama yang menangguhkan perjanjian dicapai berkisar pada tuntutan Hamas supaya sekatan ke Gaza dihapuskan sepenuhnya dan tentang corak kegiatan yang dibolehkan di sempadan kedua-dua negara, di mana tentera Israel sering melepaskan tembakan ke Jaluran Gaza untuk memastikan warga Palestin menjauhi kawasan dekat pagar sempadan.

Pegawai Hamas, Ezzat al-Rishq, berkata halangan utama adalah “jangka masa sementara bagi gencatan senjata yang Israel ingin Hamas persetujui”.

Akhbar Al-Hayat, yang berpangkalan di London dan menukil sumber-sumber daripada Hamas dan kumpulan Jihad Islam, pula melaporkan bahawa Israel mahu tempoh 90 hari untuk memastikan pelaksanaan “niat yang baik” sebelum membincangkan tuntutan Palestin, permintaan yang ditolak kumpulan itu.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 10 orang cedera apabila sebuah bas meletup sekitar tengah hari (waktu tempatan) semalam di salah satu jalan paling sibuk di Tel Aviv.

Bas itu meletup dekat muzium Tel Aviv dan berhadapan pintu masuk ke Kirya, ibu pejabat pertahanan nasional Israel.

Insiden yang diraikan dengan tembakan ke udara oleh golongan militan mungkin merumitkan lagi usaha mencapai gencatan senjata dan perdamaian sementara. – Reuters, AFP, AP.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan