Yakin Maharani Milik PN

53

BESUT – PAS DUN Kuala Besut optimis Perikatan Nasional (PN) mampu meraih kemenangan di DUN Maharani apabila jentera parti terus memperhebat gerak kerja kempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Kuala Besut, Haji Azbi Salleh berkata, gelombang pertama jentera dari Kuala Besut telah selesai menjalankan tugas di kawasan itu, manakala beliau sendiri akan mengetuai gelombang ketiga kempen bermula 9 hingga 11 Julai.

Menurut beliau, sepanjang berada di DUN Maharani, jentera memberi tumpuan kepada program ziarah rumah ke rumah serta bertemu secara langsung dengan para pengundi bagi menyampaikan mesej dan mendengar pandangan masyarakat.

“Alhamdulillah, respon yang diterima daripada pengundi di DUN Maharani amat menggalakkan. Kita mengharapkan kemenangan kerana calon yang diketengahkan mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat, bersikap merendah diri serta sentiasa mendampingi rakyat,” jelasnya ketika ditemui pihak media, selepas program Pesta Makan Durian bersama rakyat DUN Kuala di Pengakalan Setar, Jerteh, hari ini.

Beliau berkata, pendekatan mesra rakyat yang ditunjukkan calon PN menjadi antara faktor yang meningkatkan keyakinan terhadap peluang kemenangan di kawasan berkenaan.

Azbi turut menyeru pengundi di DUN Maharani supaya memberikan sokongan kepada calon PN pada hari pengundian pada 11 Julai.

Selain itu, beliau mengingatkan para pengundi supaya tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji yang dibuat oleh pihak lawan sepanjang tempoh kempen, sebaliknya membuat pilihan berdasarkan rekod kepimpinan dan kemampuan calon untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Jangan terpancing dengan kata-kata janji-janji daripada PMX, Kita sudah tahu dah janji yang dulu-dulu semua bohong. Jadi kita jangan lupa janji dia tu memang bohong.

“Jangan kita jangan lupa dan terpancing dengan kata-kata manis daripada lawan kita,” tambah beliau.