Jangan Jadikan Pengampunan Diraja Modal PRN

38

MUAR – Semua pihak diingatkan agar menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan diraja dan menjadikannya sebagai senjata menakut-nakutkan rakyat politik menjelang Pilihan Raya Negeri Johor.
.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat,Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa soal pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, selepas semua proses kehakiman selesai dilalui.

“Jangan campur urusan yang menjadi hak mutlak Yang di-Pertuan Agong, jangan cuba menggambarkan seolah-olah keputusan itu bergantung kepada keputusan pilihan raya atau digunakan sebagai modal berkempen,” katanya.

Tan Sri Annuar mengingatkan demikian ketika berucap dalam Forum Perdana Jom Bersama PAS di Laman Muafakat, Simpang Jeram di sini pada 7 Jun.

Menurut beliau, tindakan sesetengah pihak yang mengaitkan kemungkinan pengampunan diraja dengan kemenangan parti tertentu bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah boleh dilihat sebagai tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.

“Budaya politik menakut-nakutkan rakyat bukanlah sesuatu yang baharu, malah pernah digunakan melalui pelbagai bentuk ugutan seperti mendakwa bantuan akan dihentikan, peluang pekerjaan akan terjejas atau layanan kerajaan akan berubah sekiranya rakyat memilih parti tertentu.

“Politik sebegini sudah tidak lagi sesuai dengan zaman, rakyat, khususnya generasi muda, semakin matang dan mampu menilai antara fakta dengan propaganda, mereka menolak politik fitnah, penyalahgunaan kuasa, kezaliman dan ugutan,” tegas beliau.

Beliau menyeru semua parti supaya bersaing secara sihat dengan menawarkan dasar, idea dan penyelesaian kepada rakyat, bukannya memainkan sentimen yang boleh mencemarkan kewibawaan institusi diraja atau mengelirukan pengundi demi kepentingan politik sempit.

“Inilah pengalaman saya, orang benci kepada Umno, orang makin tolak, makin tolak sebab apa, rakyat di luar sana terutamanya anak muda , mereka sudah cerdik , politik zalim, politik ugut, politik menyeleweng, politik menyalahkan gunakan kuasa , politik fitnah, ini rakyat akan tolak,” tegasnya lagi