Sokongan Kepada Calon BN, ‘Jiwa Besar’ PAS Untuk Penyatuan Ummah

48
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah bukti 'jiwa besar' PAS - Hj KhuzOk

BESUT – Gesaan PAS agar ahlinya mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah bukti ‘jiwa besar’ memastikan penyatuan ummah terus diperkukuhkan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, YB Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, langkah tersebut bukan bertujuan meraih keuntungan politik semata-mata, sebaliknya lahir daripada keikhlasan dalam menghadapi landskap politik semasa.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan Johor dikuasai Pakatan Harapan (PH), yang menurutnya dipengaruhi oleh DAP.

“Walaupun suasana politik sangat tegang, PAS masih mampu berjiwa besar dengan memberikan sokongan kepada calon BN di kerusi yang tiada calon PAS. Ini menunjukkan keikhlasan parti dalam membina penyatuan ummah,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pendirian itu merupakan pandangan yang dikemukakan oleh Presiden PAS dan dipersetujui seluruh kepimpinan parti sebagai usaha memperkukuhkan perpaduan umat Islam.

“Ini satu kenyataan saya tengok yang sangat bernegarawanlah. Pimpinan PAS, khususnya Tuan Guru Presiden, memberikan pandangan itu dan disokong oleh semua pimpinan, dipersetujui oleh semua kepimpinan untuk memastikan penyatuan ummah, perpaduan ummah itu berlaku,” ujarnya.

Tambahnya, dalam keadaan semua parti sedang berusaha mendapatkan sokongan rakyat, PAS tetap mengutamakan kepentingan yang lebih besar.

“Ini adalah masa yang paling baik, paling sesuai sekali dalam keadaan politik yang masing-masing nak sokongan, tapi PAS boleh berjiwa besar mengarahkan ahlinya untuk
Pangkah musuh.

“Pangkah musuh kita, tetapi dalam musuh itu dia ada yang mana lebih mudarat. Dan kita pilih musuh yang tidak mudarat itulah sebagai rakan kita,” tambah beliau.