KUALA TERENGGANU – Sekurang-kurangnya 10 buah rumah diziarahi setiap minggu dalam usaha mengenal pasti dan membantu golongan yang memerlukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal.
Bendahari PAS Kawasan Kuala Nerus, YB Haji Zaharudin Zahid berkata, program ziarah yang dilaksanakan secara berterusan itu bukan sahaja membolehkan bantuan barangan dapur dan sumbangan tunai disalurkan kepada penerima yang layak.
Menurutnya, program tersebut turut berperanan menghubungkan penduduk dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi mendapatkan bantuan yang bersesuaian.
Beliau berkata, masih terdapat penduduk yang tidak mengetahui saluran bantuan yang tersedia, justeru Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) membantu mereka membuat permohonan serta mempercepatkan proses penyaluran bantuan.
“Setiap permohonan akan melalui proses saringan yang teliti, termasuk mendapatkan maklumat dan pengesahan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan bantuan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak,” jelas ADUN Bukit Tunggal itu, ketika dihubungi hari ini.


Menurutnya, bantuan yang disalurkan tidak mengira latar belakang politik sebaliknya berdasarkan tahap keperluan pemohon.
“Kita tidak memilih bulu. Penilaian dibuat berdasarkan keperluan sebenar bagi memastikan kebajikan masyarakat terus terbela,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata sambutan dan sokongan penduduk terhadap kepimpinan di DUN Bukit Tunggal terus menunjukkan perkembangan positif.
Tambah beliau, jentera parti juga akan terus diperkukuhkan bagi memastikan kemenangan kawasan tersebut dapat dipertahankan dengan majoriti yang lebih besar pada masa hadapan.





























