Wala’ Kunci Elak Perpecahan Dalam Jemaah

35

HULU TERENGGANU – Keputusan dalam politik merupakan perkara ijtihad yang dinamik dan bukan bersifat qat’i (putus), justeru kesetiaan atau wala’ yang tidak berbelah bahagi kepada ketetapan pimpinan menjadi tunjang, mengelakkan berlakunya perpecahan.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, politik berbeza dengan sejarah kerana ia membincangkan perkara yang akan berlaku, sekali gus menuntut penyusunan strategi dan pembinaan pelbagai andaian.

Oleh yang demikian, beliau menegaskan bahawa aspek pematuhan menjadi sangat kritikal dalam mendepani realiti siasah semasa yang penuh dengan cabaran.

Menurut beliau, perancangan politik adakalanya berhasil dan kadangkala tidak, namun ketaatan ahli kepada arahan parti amat diperlukan bagi mengekalkan keutuhan organisasi.

“Bila perkara ijtihad, yang paling penting bagi ahlinya apa dia? wala’ (kesetiaan). Kerana itulah pimpinan kita tekankan soal wala’,

“Kenapa kita tekan sangat soal wala’? Kerana perkara ini perkara ijtihad. Bila ijtihad ini kalau tak taat, maka akan berlaku kerosakan dalam jemaah.” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Hulu Terengganu kali ke 42 yang berlangsung di Dewan Kompleks Wawasan Tarbiah,Kubang Lembek, semalam.

Oleh itu, Ustaz Tuan Ibrahim turut mengingatkan bahawa perjuangan PAS bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya semata-mata.

“sebaliknya kuasa politik yang diraih merupakan satu wasilah penting bagi melaksanakan perintah Allah SWT dan menghentikan segala bentuk kemungkaran.” jelasnya.

Bagi memastikan matlamat besar tersebut tercapai, beliau berkata, perjuangan Islam adalah agenda jangka panjang yang memerlukan kesinambungan generasi demi generasi, bagi menentukan dakwah tidak terhenti.

Sehubungan itu, kata beliau, para ibu bapa digesa untuk memainkan peranan proaktif dengan agar anak-anak mereka mendaftar sebagai ahli parti.

“sangat penting bagi membina benteng angkatan pelapis yang akan meneruskan legasi perjuangan,

“pastikan semua anak kita jadi ahli parti. Biar tangan kita sebagai ibu bapa sendiri yang mengisi borang keahlian sebagai saksi di akhirat kelak,” tegasnya pagi.

Mengulas cabaran semasa, Ustaz Tuan berkata, dunia hari ini berdepan dengan ujian yang sangat terbuka, terutamanya melalui media sosial, penularan fitnah, serta kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI), menuntut ketahanan mental dan spiritual yang tinggi.

“tiga kekuatan utama wajib dimiliki iaitu, menjaga hubungan dengan Allah SWT, sentiasa sabar dan istiqamah dalam perjuangan, serta memberikan wala’ sepenuhnya kepada pimpinan.” tegas beliau lagi