Muslimat Muda Jangan Sekadar Jadi Pelaksana, Tetapi Bersiap Menjadi Pemimpin Masa Hadapan!

4

Oleh: Fatimah Din

MARANG – Golongan muslimat muda diingatkan tidak sekadar hanya menjadi tenaga pelaksana program, sebaliknya perlu mempersiapkan diri untuk memikul amanah kepimpinan pada masa hadapan.

Ketua Muslimat PAS Negeri Terengganu Toh Puan Zarani Othman, menegaskan bahawa
mereka perlu keluar daripada zon selesa dengan memperkukuh tarbiah, menguasai ilmu, memantapkan gerak kerja organisasi serta membina kemahiran diri sebagai persediaan menghadapi pilihan raya dan melahirkan generasi pelapis kepimpinan yang berwibawa

“Jangan hanya belajar, tetapi bertindak. Kita perlu sentiasa menambah ilmu, berusaha dan melaksanakan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar. Tanggungjawab ini bermula daripada perkara sekecil-kecilnya sehinggalah kepada urusan yang lebih besar, termasuk menjaga keamanan dan masa depan negara,” katanya.

Ketua Muslimat PAS Marang itu, berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Ameerah (HAMRA) Peringkat Kawasan Marang yang berlangsung di Dewan Sivik Bukit Payong, Marang, pada Sabtu, 24 Oktober.

Menurut beliau, muslimat muda mempunyai peranan penting dalam memperluas pengaruh dakwah dengan mendekati golongan anak muda, menghimpunkan mereka dalam gerakan yang bermanfaat serta menggalakkan penyertaan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Usaha membina kepimpinan tidak boleh bergantung kepada semangat semata-mata, sebaliknya perlu disertai ilmu, disiplin, pengalaman dan asas tarbiah yang kukuh supaya lahir pemimpin yang memahami tanggungjawab serta mampu berkhidmat kepada masyarakat,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kesibukan melaksanakan program tidak seharusnya menyebabkan muslimat muda mengabaikan usrah yang menjadi tunjang tarbiah dalam perjuangan.

“Sesibuk mana pun kita dengan gerak kerja organisasi, usrah jangan sekali-kali ditinggalkan. Tarbiah mesti terus diperkukuh kerana daripada tarbiah yang mantap akan lahir ahli yang istiqamah, berdisiplin dan memahami matlamat perjuangan,” tegasnya.

Mengulas persediaan menghadapi pilihan raya, beliau menekankan bahawa pengukuhan tarbiah perlu bergerak seiring dengan kesiapsiagaan organisasi. Setiap ahli perlu memahami peranan masing-masing, meningkatkan komitmen serta membina keupayaan bekerja secara tersusun bagi memastikan gerak kerja parti lebih berkesan.

Beliau turut menyeru muslimat muda supaya menguasai kemahiran media baharu sebagai medium penting penyampaian maklumat dan dakwah. Penggunaan platform digital, katanya, perlu disertai tanggungjawab memastikan setiap maklumat yang disampaikan tepat, berfakta dan beradab, termasuk ketelitian dalam penulisan serta penggunaan ayat Al-Quran mengikut konteks yang betul.

“Selain kekuatan ilmu dan penguasaan teknologi, beliau turut menggalakkan muslimat muda mempelajari kemahiran praktikal seperti menjahit dan memasak sebagai usaha membina kemandirian diri serta mengurangkan kebergantungan kepada orang lain,” tambahnya.

To’ Puan Zarani berharap agar Himpunan Ameerah menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi muslimat muda yang seimbang dari segi ilmu, tarbiah, kepimpinan dan kemahiran hidup, sekali gus bersedia menyambung amanah perjuangan serta memikul tanggungjawab membangunkan masyarakat dan negara.

” Masa depan kepimpinan tidak terbina dalam sehari, sebaliknya memerlukan persediaan berterusan, kesungguhan menimba ilmu dan keberanian untuk bertindak. Muslimat muda perlu mengambil peluang yang ada hari ini untuk membina kekuatan diri agar mampu tampil sebagai pemimpin yang berprinsip, berilmu dan berkhidmat demi ummah,” ujarnya lagi.