BESUT – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menyeru seluruh anak muda di negeri ini untuk turun beramai-ramai memeriahkan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2026 yang bakal berlangsung bermula esok, 5 hingga 6 Jun 2026 di Pentas Rebana, Pantai Air Tawar, Besut.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, YB Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, program yang berbaki kurang sehari sahaja lagi ini bakal menjadi medan perhimpunan penting buat jentera pemuda.
Katanya, Acara kemuncak yang ditunggu-tunggu adalah Perasmian HIMPIT 2026 serta Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu.
“Pelancaran dan perasmian ini akan disempurnakan secara langsung oleh Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS. Ayuh pemuda Terengganu, kita hijaukan bumi Besut pada hari Jumaat dan Sabtu ini,” seru beliau.
Sementara itu, Pengarah Program HIMPIT 2026 merangkap Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Irsyad Syafiq Burhanuddin memaklumkan bahawa persiapan akhir di tapak program sedang rancak dijalankan oleh pihak urusetia bagi memastikan kelancaran himpunan tersebut.
Menurut beliau, HIMPIT 2026 dibawakan khas dengan pelbagai pengisian menyeluruh yang bukan sahaja memfokuskan kepada pembentukan kefahaman siasah, malah turut meraikan minat dan kecenderungan golongan belia.
“Kita akan bawakan ramai tokoh-tokoh pimpinan untuk memberikan ceramah, pidato, dan taujihad kepada anak-anak muda bagi mendepani isu-isu semasa pada hari ini.
“Selain pentas pidato, himpunan ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti acara sukan anak muda, cabutan bertuah, dan juga pembukaan gerai-gerai jualan untuk pengunjung membeli-belah,” jelas beliau.
Orang ramai khususnya belia dari seluruh pelosok daerah di Terengganu dijemput hadir membanjiri Pantai Air Tawar pada hujung minggu ini bagi bersama-sama menjayakan himpunan mega ini selari dengan gagasan anak muda terus memimpin.




























