Oleh: Fatimah Din
MARANG – Penerima Anugerah Tokoh Guru Pusat Asuhan Tunas Islam(PASTI) Terengganu 2026, Kamariah Ali, 64 berasa hebat sebagai guru PASTI, kerana mengajar perkara yang sangat disukai Allah.
Tenaga pengajar PASTI Al-Mawaddah, Kampung Geleguh, Pengkalan Berangan itu berharap pihak pengurusan PASTI dapat melaksanakan dan perkasakan usrah, tamrin, motivasi, program komunikasi, program kepimpinan bagi menjaga kualiti sebenar PASTI.
“Jujur dengan Allah, bila kita didik anak-anak orang kerana di sebalik kesibukan kita dari pagi sehingga petang, ditambah pula dengan pelbagai program sebagai guru PASTI,
“seluruh hidup kita ini, Allah akan didik anak-anak kita, sebab masa dengan keluarga dah jadi makin kurang,” ujarnya ketika dihubungi semalam.


Menurutnya, cabaran guru dan pihak PASTI hari ni apabila ingin membawa guru-guru yang berbeza latar belakang, ke arah pemahaman kerja mereka dengan Allah,
“kerana dalam PASTI seawal umur empat tahun kita mengajar pelajar memahami Islam dengan rukun Islam, rukun Iman, syahadah, solat, sifat Allah, nama nabi, malaikat, hafal surah, hafal doa, hatta cara berpakaian pun kita didik sehingga mereka boleh menjadi role model buat ibu bapa di rumah,
“Jadi untuk menangani cabaran sebegitu, seorang guru PASTI perlu memiliki tarbiyyah yang cukup bagi mendidik murid-murid. ” ujarnya yang sudah 18 tahun berkecimpung dalam pendidikan PASTI.
Beliau yang juga Ketua Majlis Guru PASTI DUN Pengkalan Berangan bersyukur dikurniakan seorang suami, anak-anak, keluarga yang begitu memahami tugasnya di PASTI dan menjadi guru mengaji di rumahnya pada waktu malam.
Dalam masa yang sama katanya, beliau turut menggalas tanggungjawab sebagai penggerak muslimat PAS di peringkat cawangan, DUN dan sebagainya.






























