Guru PASTI Cemerlang, Sifatkan Anugerah Bukan Kejayaan Peribadi

39

Oleh : Fatimah Din

MARANG – Walaupun diiktiraf sebagai Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Cemerlang Kawasan Marang 2026, bukan tiket untuk mendabik dada, tetapi tetap merendah diri dengan menyifatkan bukan kejayaan peribadinya semata.

Bagi Cikgu Norhaliza Othman, 52, guru PASTI Al-Muzakkir Kampung Gondang, Pengkalan Berangan, kejayaannya bukan dicapai hasil kerja buatnya seorang diri tetapi atas bantuan rakan-rakan di peringkat cawangan, kawasan dan keluarga.

“Saya mula menjadi guru PASTI sejak tahun 1993 sebaik sahaja habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) , waktu bujang, berkahwin dan sehingga mempunyai seramai 12 orang anak,

“Dulu saya bawak anak ke mana sahaja saya pergi samada mengajar, ke program mahupun kursus, Alhamdulillah dengan restu suami, doa mak ayah dan keluarga yang sangat memahami untuk dapat terus menjadi guru PASTI”, katanya.

Cikgu Norhakiza berkata demikian ketika dihubungi di rumahnya Pengkalan Berangan di sini semalam.

Menurutnya, dalam kaedah mengajar beliau suka mengambil pendekatan kaedah pembelajaran menyeronokkan dengan belajar sambil bernasyid yang direka supaya anak murid mudah dan cepat ingat, selain ada bahan bantu mengajar yang dibekalkan oleh pihak PASTI.

“Dalam membina hubungan dengan murid saya pentingkan interaksi iaitu bila murid bercakap, bercerita pada kita, tolong dengar walaupun kita rasa tak penting, sebab kadang-kadang anak kecil suka mengadu,

“selain itu kita jangan bekeng (garang) sangat, jika ada perkara yang tak kena pada anak murid beritahu pada mak ayah pelajar pada hari tersebut , tak perlu pun tunggu waktu temu murni’ ceritanya dengan panjang lebar.

Baginya, seorang guru PASTI itu bukan sekadar mendidik, tapi amanah yang dipikul untuk melahirkan murid yang ada potensi, akhlak baik dan ikut syariat Islam.

” Pesanan saya kepada guru baru supaya banyakkan bersabar, sabar adalah kunci untuk didik anak-anak, kena ada rasa kasih pada mereka dan jadilah contoh pada murid-murid.

Menyingkap sepanjang 33 tahun menjadi tenaga pengajar, beliau berkongsi kenangan manis ketika PASTI itu berjaya mewakili Alam Ria PASTI Kebangsaan dalam Pertandingan Bercerita mengenai kisah nabi Soleh pada tahun 2018.ó