KUALA TERENGGANU – Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengakui terdapat beberapa kenyataan tidak tepat dari sudut fakta sejarah berkaitan kehidupan para Sahabat Rasulullah SAW sebelum Islam dalam ceramah yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Ustaz Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, YB Ustaz Dato’ Haji Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya mengambil maklum dan memandang serius polemik yang timbul susulan ceramah tersebut yang berlangsung di Kuala Terengganu.
Menurut beliau, DUPP telah meneliti sedutan rakaman ceramah berkenaan serta mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan sebelum membuat pendirian rasmi.
“DUPP mengakui bahawa terdapat beberapa kenyataan yang tidak tepat dari sudut fakta sejarah berkaitan latar kehidupan para Sahabat Rasulullah SAW, khususnya Saidina Abu Bakar RA, Saidina Umar RA dan Saidina Uthman RA sebelum Islam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa para Sahabat Rasulullah SAW merupakan generasi terbaik umat Islam yang wajib dimuliakan dan dipelihara kehormatan mereka.
“Sebarang huraian berkaitan sejarah dan keperibadian mereka, khususnya kehidupan mereka pada zaman Jahiliyyah, hendaklah disampaikan secara tepat, beradab serta berpandukan disiplin ilmu yang sahih,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan DUPP telah menyampaikan teguran dan peringatan secara dalaman kepada Nik Zawawi supaya lebih berhati-hati ketika menyampaikan fakta sejarah Islam.
“DUPP juga telah menyampaikan teguran serta peringatan secara dalaman kepada YB Dato’ Ustaz Nik Zawawi Salleh agar lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam, khususnya dalam perkara yang melibatkan kedudukan serta kemuliaan para Sahabat Rasulullah SAW,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata DUPP menghargai teguran yang diberikan oleh golongan asatizah dan ilmuwan secara beradab serta berpandukan fakta yang sahih.
Menurutnya, budaya saling menasihati dalam perkara ilmu perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan kefahaman Islam yang benar dapat dipelihara dalam masyarakat.
“DUPP komited untuk terus memperkemaskan panduan penyampaian dakwah agar setiap penyampaian dibuat dengan lebih teliti, berhikmah serta mematuhi disiplin ilmu dan adab Islam,” katanya.



























