185 Pelajar Cemerlang SPM Dan STAM DUN Tepoh Dirai

39

KUALA TERENGGANU – Seramai 185 orang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 dari DUN Tepoh diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2025 peringkat DUN Tepoh.

Pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) Tepoh YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata, majlis tersebut bukan sahaja bertujuan menghargai pencapaian akademik pelajar, malah sebagai suntikan semangat kepada generasi muda untuk terus melakar kejayaan pada masa hadapan.

Menurut beliau, kejayaan diraih para pelajar hari ini adalah hasil daripada usaha gigih, disiplin serta pengorbanan yang telah dilakukan sepanjang tempoh pembelajaran.

“Syabas dan setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada seluruh anak-anak pelajar lepasan SPM dan STAM 2025 DUN Tepoh atas kejayaan yang telah diraih.

“Usaha gigih, disiplin dan pengorbanan kalian akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan, bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada keluarga dan seluruh komuniti,” jelasnya mengulas program pada 5 Meo, dalam laman sosialnya.

Beliau yang juga Exco Kerajaan negeri turut menekankan kepentingan pembentukan jatidiri muslim dan identiti anak-anak Darul Iman dalam menghadapi cabaran dunia pendidikan yang semakin mencabar.

Katanya, pelajar perlu mempertahankan nilai dan prinsip yang baik walau di mana mereka melanjutkan pengajian selepas ini.

“Saya titipkan pesan buat semua anak-anak pelajar agar memiliki jatidiri muslim yang sebenar dan jatidiri anak-anak Darul Iman yang mesti dipertahankan walau di mana kita berada.

“Pembentukan jiwa berkepimpinan juga hendaklah dipupuk agar kebertanggungjawaban dapat digilap dari pelbagai aspek,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa cabaran di peringkat pengajian tinggi memerlukan kesabaran, ketahanan mental dan semangat juang yang tinggi dalam mengejar cita-cita.

Dalam pada itu, beliau berharap kejayaan yang dicapai menjadi titik permulaan kepada masa depan yang lebih gemilang dan melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada agama, bangsa serta negara.