Pesta Muzik Air: Tangani Kritik Awam Dengan Matang, Malaysia Perlu Promosi Tulen, Bukan Ciplakan Murahan

34
Takiyuddin Hassan

PAS merakamkan rasa kecewa atas respons semberono dan tidak cermat Menteri Pelancongan, Seni dan Warisan YB Dato Sri Tiong King Sing berkait kritikan dan reaksi awam terhadap Festival Muzik Air Rain Rave di Bukit Bintang anjuran kementerian terbabit bermula 30 April dan berakhir hari ini.

Dalam sidang media pasca pelancaran acara itu semalam, beliau antara lain dilaporkan berkata, “Jangan semua program dijadikan isu politik. Kalau begitu, bagaimana mahu membangunkan ekonomi?… Mana-mana pihak merasakan boleh datang (silakan) datang. Kalau merasakan agama kita tidak beri kelulusan, jangan datang.”

PAS percaya kenyataan sedemikian tidak wajar sama sekali diucapkan oleh menteri Kabinet, lebih-lebih lagi oleh individu yang diamanahkan tugas memaju dan mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dan dihormati.

Menteri Pelancongan hendaklah bercakap mewakili semua rakyat dan kalangan. Beliau wajib menjuarai nilai-nilai perpaduan, saling menghormati, peka budaya dan keterangkuman, bukannya bersikap defensif dan berfikiran selekeh dengan mengetepikan kebimbangan sah orang ramai begitu sahaja.

Kritikan yang disuarakan banyak pihak, termasuk dalam kalangan pemimpin kerajaan sendiri, bukanlah tidak munasabah, apatah lagi keterlaluan atau melampau.

Rata-rata ia berkisar persoalan serius seperti kesopanan awam, kesesuaian tempat, perlindungan ruang awam mesra-keluarga, sensitiviti budaya, kawalan khalayak, keselamatan dan mesej luas yang ditonjolkan tentang nilai serta keutamaan negara.

Isu-isu ini menuntut penjelasan dan libat urus yang bermutu dan bermaruah, bukannya tempelak dan pelecehan oleh seorang menteri persekutuan.

Dalam pada itu, PAS juga percaya, program seumpama ini – yang lebih menyerupai suasana dalam sebuah disko atau kelab malam, tetapi pada skala lebih besar dan terbuka – lebih sesuai dianjurkan oleh pihak swasta secara tertutup dan terhad kerana sifatnya yang mengundang kontroversi, selain tidak inklusif.

Ia tidak harus diangkat sebagai acara utama kerajaan, apatah lagi diwarwarkan sebagai acara utama promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk menunjukkan keseriusan dan kredibiliti negara sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang penting.

Lebih parah, episod ini turut menyerlahkan realiti ketandusan idea dan imaginasi yang membimbangkan dalam dasar dan penggerak utama pelancongan negara. Malaysia memiliki aset alam, budaya, sejarah dan warisan yang luar biasa dan dicemburui oleh banyak negara lain.

Kekuatan kita bergantung pada identiti tulen ini – daripada bandar dan lokasi warisan, hutan hujan, pulau-pulau, makanan, seni tradisional, pelbagai acara dan hasilan budaya, kerahmahan rakyat hinggalah kepada keharmonian sosial.

Malaysia harus bersaing atas kecemerlangan, keunikan dan kualiti kita sendiri, bukannya melalui gimik hiruk-pikuk di jalanan, trend yang diimport atau ciplakan murahan yang dibentuk demikian rupa hanya untuk menarik perhatian sementara atau melepaskan emosi semata-mata.

Strategi pelancongan yang serius diukur sama ada ia menambah ketibaan pelancongan berkualiti, memperpanjang tempoh lawatan, mencipta pekerjaan yang mampan, memanfaatkan perniagaan tempatan, memulihara warisan negara dan memperkukuh reputasi Malaysia.

Justeru isu besarnya bukanlah semata-mata tentang siapakah yang hadir dan tidak, tetapi sama ada kepimpinan kementerian menyedari tentang kepentingan jawatan yang disandang serta tanggungjawab untuk membentuk imej baik Malaysia di mata semua.

Pada saat persaingan pelancongan serantau begitu sengit, Malaysia tidak boleh muncul dengan penjenamaan yang dangkal, provokasi tidak perlu atau menteri yang keliru antara publisiti dengan kemajuan.

PAS menggesa kerajaan supaya memfokuskan semula dasar-dasar teras pelancongan negara, meningkatkan standard kepimpinan awam dan mempromosi Malaysia dengan yakin, matang dan harga diri kebangsaan yang kini kelihatan begitu terhakis.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 02 Mei 2026.