HULU TERENGGANU – PAS DUN Kuala Berang secara rasminya melancarkan jentera Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebagai simbol kesiapsiagaan seluruh ahli dan pendukung dalam mendepani cabaran politik akan datang.
Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya serta Perasmian Mesyuarat Agung Berkelompok Cawangan PAS DUN Kuala Berang itu telah disempurnakan oleh Pengarah Pilihan Raya Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, YB Dato’ Haji Ariffin bin Deraman.
Program yang berlangsung di Markas PAS DUN Kuala Berang itu menyaksikan kehadiran ahli-ahli cawangan dengan semangat juang yang tinggi, sekali gus menggambarkan kekuatan gerakan yang dibina atas dasar kesatuan dan keikhlasan.


Menurut Ariffin, penganjuran mesyuarat tahunan itu bukan sekadar memenuhi tuntutan organisasi, sebaliknya merupakan platform penting untuk bermuhasabah serta menyusun langkah yang lebih proaktif.
“Mesyuarat ini menjadi medan untuk kita memperkukuh organisasi dan menyusun langkah ke hadapan secara lebih tersusun.
“Pelancaran jentera ini pula menandakan kesiapsiagaan seluruh pasukan dalam menghadapi PRU16 dengan lebih berstrategi dan berfokus. Di sinilah bermulanya gerak kerja yang menuntut komitmen, pengorbanan serta kebersamaan semua pihak,” katanya ketika merasmikan majlis ini, pada 23 April lalu.


Tambah beliau, kemenangan dalam sesebuah perjuangan tidak datang dengan mudah, namun ia lahir daripada kerja keras dan semangat yang tidak luntur.
“Kepada seluruh jentera, inilah masa untuk kita menggandakan usaha. Jadikan medan ini sebagai ruang untuk berkhidmat sebaik mungkin demi agama, bangsa, dan negeri,” tegasnya.
Majlis tersebut diakhiri dengan azam untuk memastikan setiap langkah yang diatur mampu membawa manfaat berterusan kepada masyarakat secara keseluruhannya, sekali gus mengekalkan momentum kemenangan parti di kawasan berkenaan.































