Hentikan Retorik! Bentangkan “Exit Plan” Hadapi Krisis

34
Afnan Hamimi Taib Azamudden

Semak krisis tenaga global yang menghimpit negara, Kerajaan masih belum menyediakan suatu ‘exit plan’ yang jelas bagi memastikan negara tidak terus terperangkap dengan kenaikan harga minyak mentah global.

Ini vakum penyelesaian yang tidak diketengahkan oleh Kerajaan, hanya berpaut kepada alasan krisis yang sedang memuncak di Timur Tengah.

Apa yang rakyat perhatikan hanyalah sebuah Kerajaan yang mengumumkan kenaikan harga minyak runcit serta bertungkus lumus mempertahankan naratif kenaikan harga tersebut.

Ia berbeza sama sekali dengan naratif yang pernah diulang-ulang satu masa dahulu.

Kalaupun kenaikan harga minyak adalah sesuatu yang tidak dapat dibendung, apa langkah strategik yang boleh disusun melibatkan kekuatan fiskal negara?

Meskipun saban hari Anwar Ibrahim mencanangkan mengenai membela nasib rakyat dan sebagainya, keutamaan fiskal terhadap item subsidi dan bantuan sosial juga telah mengalami pengurangan dari tahun ke tahun.

Peruntukan di bawah item subsidi dan bantuan sosial telah berkurang daripada RM64.4 bilion pada tahun 2024 kepada RM57.1 bilion pada tahun 2025.

Manakala anggaran pada tahun ini juga mengalami pengurangan sehingga RM49.0 bilion dengan masing-masing menurun 15.3 peratus dan 14.1 peratus.

Laporan Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan menyatakan bahawa pengurangan tersebut berlaku kerana faktor ‘rasionalisasi subsidi bahan api’ selain ‘harga minyak global yang rendah.’

Ironinya, ketika harga minyak global meningkatkan naik, Kerajaan masih tetap dengan rancangan merasionalisasi subsidi dan menghempap beban kewangan kepada poket rakyat.

Walhal, apa yang dinanti-nantikan rakyat bukan semata-mata pengumuman harga minyak, bahkan pelan tindakan yang komprehensif daripada Kerajaan.

Pertama, melindungi kepentingan rakyat daripada bebanan kenaikan kos sara hidup dengan bantuan-bantuan bersasar yang efektif dan efisyen.

Kedua, menyusun semula pemberian subsidi secara agregat dan memastikan ia bersifat “serap kejutan” khususnya kepada peniaga dan rakyat amnya.

Ketiga, memperkukuh ekonomi negara dengan menilai aspek daya tahan ekonomi yang mampan.

Ini bukan formula baharu. Ini adalah tiga keutamaan dalam menyusun semula ekonomi dan fiskal menghadapi situasi ketidaktentuan global.

Tidak sekadar duduk memangku tangan sambil “membodohkan” pula pihak yang mengkritik Kerajaan.

Kerajaan tidak wajar menyerahkan keseluruhan beban ini ditanggung oleh rakyat semata-mata dan mengeluarkan kenyataan supaya semua pihak harus pasrah dan reda dengan krisis global yang melanda.

Apakah hari ini Kerajaan sudah mati akal untuk menerbitkan formula-formula penyelesaian berhadapan dengan kemelut yang ada?

YB Afnan Hamimi bin Dato’ Taib Azamudden
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Alor Setar
16 APRIL 2026 | 27 SYAWAL 1447H

#PemudaPAS #TerusMemimpin