Sokongan Rakyat Meningkat, Gerak Kerja PAS Besut Terus Diperkukuh

238

BESUT – Peningkatan sokongan rakyat dan gerak kerja tersusun di peringkat akar umbi menjadi antara perkembangan positif yang menguatkan keyakinan PAS Kawasan Besut menjelang pilihan raya akan datang.

Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Haji Mohd Nukhuzaini Ab Rahman berkata, pendekatan turun padang melalui pelbagai program dan aktiviti kebajikan berjaya merapatkan hubungan antara parti dan masyarakat setempat.

Menurutnya, pelaksanaan ziarah kebajikan yang digerakkan oleh sayap parti seperti Pemuda, Muslimat dan Ameerah menunjukkan impak berkesan apabila hampir setiap lapisan masyarakat telah disentuh.

“Program ziarah ini berjalan secara aktif dan tersusun. Ada segmen khusus seperti ziarah ibu bersalin dan kebajikan masyarakat, malah ada tempat yang kita pergi, mereka maklum bahawa wakil kita telah pun sampai lebih awal,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat PAS Kawasan Besut, pada 9 April lalu.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa usaha memperkukuh organisasi parti turut dilaksanakan melalui pelantikan jawatan di peringkat Unit Daerah Mengundi (UDM), sebagai persediaan memperkemas jentera pilihan raya.

Mengulas sambutan program Hari Raya PAS Besut, beliau berkata kehadiran orang ramai yang dianggarkan 8,000 orang mencerminkan penerimaan masyarakat yang semakin baik.

“Program pada hari ini merupakan sambutan Hari Raya PAS Kawasan Besut, yang menjadi acara tahunan kita.

“Ini juga merupakan pengalaman pertama saya sebagai Yang Dipertua (YDP) dan kita telah melakukan beberapa penambahbaikan khususnya dari segi atur cara program dan pengurusan penyediaan makanan.

“Alhamdulillah, penambahbaikan ini dapat dilihat apabila program berjalan lancar, malah sehingga ke penghujung acara, para pengunjung masih dapat hadir dan menikmati juadah yang disediakan,” ujarnya.

Tambah beliau, suasana di peringkat akar umbi juga menunjukkan perubahan positif apabila terdapat rakyat yang sebelum ini bukan penyokong kini mula menyatakan sokongan secara terbuka.

“Ada yang menyebut kita perlu kekalkan apa yang ada. Ini satu isyarat bahawa pendekatan kita diterima dan perlu diteruskan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa PAS Besut akan terus memperkukuh momentum gerak kerja sedia ada dan meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat bagi memastikan sokongan tersebut dapat dikekalkan.