Ketidaktentuan Ekonomi Global, Risiko Pekerjaan Tumpuan Kerajaan PAS Terengganu

183

BESUT– Ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik yang berlarutan di Timur Tengah kini menjadi isu paling penting yang diberi perhatian oleh kerajaan PAS negeri, khususnya dalam menjaga kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi.

Yang Dipertua PAS Kawasan Besut,YB Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, perkembangan semasa di peringkat antarabangsa dipantau secara rapi kerana ia berpotensi memberi kesan langsung kepada ekonomi tempatan.

Katanya, antara kebimbangan utama ialah risiko pembuangan pekerja akibat tekanan ekonomi global, yang boleh menjejaskan sumber pendapatan rakyat.

“Ancaman kepada ekonomi ketika ini bukan sahaja melibatkan faktor luar, tetapi kesannya boleh dirasai terus oleh rakyat, terutama dari segi peluang pekerjaan.

“Cuma saya sangat bersetuju dengan apa yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato Sri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bahawa ancaman kepada ekonomi global itu adalah tentang pembuangan kerja pekerja-pekerja supaya kita bendung sebaik mungkin daripada ianya berlaku kerana ia memberi kesan yang terus kepada rakyat negeri kita,” jelasnya ketika ditemui, semalam.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri Terengganu., turut menekankan keperluan mengawal kesan kenaikan harga minyak agar tidak membebankan rakyat, memandangkan ia turut dipengaruhi oleh situasi global.

Walaupun berdepan cabaran tersebut, beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus melaksanakan perancangan pembangunan seperti yang telah dirangka bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri tidak terjejas.

Dalam masa sama, beliau berharap konflik yang berlaku dapat diselesaikan segera demi menjamin keamanan global dan kestabilan ekonomi, khususnya bagi negara-negara Islam.

“Kerajaan negeri kekal komited meneruskan agenda pembangunan dan akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” ujarnya.

Justeru itu, beliau mengharapkan perkara yang lebih baik berlaku dalam waktu yang singkat dan peperangan itu tidak berpanjangan.

‘Kita juga mengharapkan agar umat Islam dan negara-negara umat Islam terpelihara, keamanan, dan tidak terganggu dengan peperangan yang berlaku.

“Dengan peperangan ini memberikan satu pengajaran kepada musuh-musuh Islam agar memelihara keamanan.

“Jangan memandang rendah terhadap kemampuan satu-satu sebuah negara yang berdaulat dan yang lebih penting lagi, keangkuhan serta kesombongan jangan diletakkan sebagai asas kepada pelaksanaan terhadap sesuatu negara,” tambah beliau.