CBT Tebakang Digerakkan Melalui Koperasi

161

KUALA TERENGGANU, – Model Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) Kampung Tebakang yang digerakkan oleh Koperasi Kariah Masjid Kampung Tebakang Marang Berhad (KOMiT) dilihat berpotensi menjadi contoh dasar pembangunan ekonomi berteraskan masjid di peringkat negeri dan nasional.

Pengerusi KOMiT, Hussin Ismail berkata, pendekatan yang dibangunkan bukan sekadar produk pelancongan biasa, sebaliknya menggabungkan elemen ekonomi, kerohanian, pendidikan dan keselamatan makanan dalam satu ekosistem komuniti tersusun.

Katanya, antara tarikan utama ialah pakej ATV menikmati panorama matahari terbenam, pengalaman autentik kehidupan desa seperti menoreh getah, mengait sawit dan memberi makan ternakan.

“Pelancong juga boleh menghubungi urusetia bagi menempah lokasi pilihan lengkap dengan penerangan dan taklimat, termasuk menyertai aktiviti mengikut jadual pelancongan tahunan seperti pesta menuai, mengemping serta melaksa yang dirancang bersama komuniti setempat.

“Antara program istimewa yang diperkenalkan ialah Berbuka di Menara KOMiT, yang bukan sahaja menarik pelancong malah menghidupkan nilai kebersamaan dan kerohanian,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini.

Hussin menjelaskan, konsep CBT yang dibangunkan ini berteraskan prinsip syariah.

Selain sektor pelancongan, KOMiT turut memberi penekanan kepada pembangunan insan dan ekonomi jangka panjang melalui pendidikan Tahfiz Fast Track, pemulihan warisan songket tradisi sebagai produk berkualiti tinggi serta pelaksanaan projek padi darat dan sorgum bagi memperkukuh keselamatan makanan komuniti.

“Matlamat kami jelas menarik pelancong, meningkatkan ekonomi komuniti dan dalam masa yang sama memberi nilai pahala.

 “Pembangunan minda dan pembentukan budaya adalah strategi jangka panjang yang memerlukan masa, kesepakatan, kesabaran serta kepimpinan berpasukan,” ujar beliau.

Beliau menambah, KOMiT turut meletakkan sasaran besar untuk muncul sebagai Koperasi Masjid Pilihan Malaysia menjelang 2030 dan menerajui rangkaian MasjidMart dengan 1,000 outlet pada 2030 dan 2,000 menjelang 2035.