Rasuah Bukan Masalah Pentadbiran Sahaja

106
Ustaz Hamdi Harun

KUALA TERENGGANU – Isu rasuah yang membelenggu negara perlu ditangani secara menyeluruh dan tidak boleh dilihat sebagai masalah pentadbiran semata-mata.

Menurut Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Hamdi Harun, ucapan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang Parlimen Malaysia baru-baru ini membawa mesej jelas bahawa rasuah berpunca daripada keruntuhan nilai, kelemahan sistem dan kegagalan kepimpinan, sekali gus merosakkan ekosistem pentadbiran negara.

“Tok Guru menyifatkan rasuah sebagai ‘barah’ yang memusnahkan amanah, menzalimi rakyat, mengganggu kestabilan ekonomi dan meruntuhkan kepercayaan terhadap institusi.

“Apabila rasuah menjadi budaya, keputusan tidak lagi dibuat demi rakyat, tetapi kerana habuan dan pengaruh,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, inti pati ucapan tersebut bertunjangkan tiga paksi utama iaitu pembangunan insan melalui pengukuhan nilai dan akhlak, penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan adil, serta kepimpinan berintegriti yang menjadi contoh kepada masyarakat.

Tambahnya, usaha membanteras rasuah perlu dilaksanakan secara serentak dengan pembinaan nilai dan pembaikan sistem tadbir urus agar tidak pincang dan bersifat kosmetik semata-mata.

“Memerangi rasuah bukan sekadar menambah hukuman atau operasi, tetapi membina sebuah negara yang ditadbir dengan amanah, telus dan berprinsip supaya pembangunan berlaku dengan adil dan berkat untuk semua,” katanya.