PERBAHASAN TITAH DIRAJA AHLI PARLIMEN MARANG
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Tuan Timbalan Yang Dipertua,
Saya ingin menjunjung kasih atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang berterus terang menegur pentadbiran yang lemah dan gagal, khususnya usaha mencegah kemungkaran dalam masalah rasuah yang membarah dalam negara kita.
Sabda Nabi Muhammad SAW:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِالْأَمِيرِ خَيْرًا جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ، إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ، وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ، وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ، وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ.
“Apabila Allah menghendaki seseorang raja itu baik, Dia menjadikan menteri (penasihat yang ada di sebelahnya) menteri yang baik dan benar. Jika raja itu lupa, dia akan memperingatkannya, manakala jika raja itu sedar, dia akan menolongnya. Dan apabila Allah menghendaki keburukan kepada raja itu, nescaya Allah menjadikan bersamanya menteri penasihat di sebelahnya menteri yang buruk dan pembohong. Jika raja itu lupa, tidak akan diperingatkannya (dibiarkannya), manakala jika raja itu sedar, tidak akan ditolongnya.” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Kharaj wa al-Imarah wa al-Fai’, no. 2932, daripada ‘Aishah binti Abi Bakar]
Kita menghadapi titah ucapan yang berterus terang daripada Tuanku yang menegur kelemahan yang berlaku, berpunca daripada kegagalan dalam peranan manusia.
Allah SWT menyebut dalam firman-Nya:
وَٱلۡعَصۡرِ ١ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَفِي خُسۡرٍ ٢ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ ٣
“Demi masa. (1) Semua manusia dalam kerugian, (2) melainkan mereka yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran (3).” [Surah al-‘Asr: 1-3]
Ayat ini menceritakan tiga perkara dan aspek yang penting. Pertama, iman yang merangkumi aqidah kepercayaan kepada Allah, Hari Akhirat, serta dosa dan pahala. Kedua, amal yang soleh. Ketiga, berpesan-pesan, nasihat-menasihati, tolong-menolong, dan bermasyarakat madani yang berlandaskan iman. Tiga aspek ini disebut oleh al-Quran al-Karim.
Namun begitu, apa yang berlaku ialah nasihat yang diberikan tidak menyeluruh.
Sabda Nabi Muhammad SAW:
الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ.
“Agama itu nasihat.” Kami (para sahabat) bertanya, “Bagi siapa?” Rasulullah menjawab, “Bagi Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin (pemerintah atau ketua negara), dan juga orang ramai.” [Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, no. 55, daripada Tamim al-Dari]
Nasihat ini menjadi kewajipan kerana Allah dan Rasul bagi raja, pemimpin-pemimpin dan orang awam, maka ia perlu melibatkan semua pihak.
Sekarang, Raja telah berterus terang menasihati kerajaan dalam masalah kemungkaran yang besar yang berlaku dalam negara kita, iaitu kemungkaran rasuah. Rasuah merupakan satu dosa yang sangat besar dalam Islam yang disebut oleh Allah dalam al-Quran sebagai dosa besar.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ وَتُدۡلُواْ بِهَآ إِلَى ٱلۡحُكَّامِ لِتَأۡكُلُواْ فَرِيقٗا مِّنۡ أَمۡوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ١٨٨
“Jangan sekali-kali kamu makan harta-harta (orang lain daripada) kalangan kamu dengan cara yang salah, dan jangan pula kamu menyogok pihak yang berkuasa kerana hendak memakan harta orang lain dengan cara (berbuat) dosa dalam keadaan kamu mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 188]
Namun begitu, apa yang berlaku pada hari ini ialah kita melihat kerajaan ini telah menjadi laksana ikan buruk, dari kepala sehingga ekornya, dan ini adalah sesuatu yang sangat dahsyat. Sedangkan Nabi Muhammad SAW telah menghuraikan satu tindakan yang holistik.
Sabda Nabi Muhammad SAW:
لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ: يَعْنِي: الَّذِي يَمْشِي بَيْنَهُمَا.
“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah, dan perantara (orang tengah yang menguruskan kedua-duanya).” [Hadis riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Tatimmah Musnad al-Ansar, no. 22399, daripada Thauban bin Bujdud]
Sepatutnya, tindakan diambil kepada ketiga-tiga pihak, iaitu diambil kepada pihak yang memberi rasuah, menerima rasuah dan orang tengah. Akan tetapi, apa yang berlaku pada hari ini, tindakan diambil kepada yang menerima rasuah sahaja. Sedangkan yang menyogok dan yang menjadi orang tengah tidak diambil tindakan, kononnya kerana ingin mendapatkan pertolongan mereka menjadi saksi dan sebagainya. Maka, berlakulah kelemahan-kelemahan dalam tindakan undang-undang dan langkah yang diambil.
Kegagalan-kegagalan kita adalah dalam pembangunan insan iaitu manusia. Kedua, kelemahan undang-undang, Ketiga, kepimpinan yang lemah iaitu payung yang bocor. Inilah masalah-masalah yang kita hadapi.
Dalam aspek pembangunan insan, manusia ini perlu dibina jasad, akal dan rohnya. Tiga aspek ini, iaitu jasad, akal dan roh, mempunyai makanannya. Makanan jasad ialah makanan biasa untuk menguatkan nafsu dan kemahuannya, makanan akal ialah ilmu, dan makanan roh pula ialah beriman dengan aqidah yang mempercayai dosa dan pahala.
Sekiranya tidak lengkap pembangunan insan dalam semua perkara ini, maka akan menghasilkan manusia dengan nafsu yang melonjak-lonjak sehingga tidak beriman dan tidak mampu dikawal. Bahkan mahu mendapatkan harta dengan sebanyak-banyaknya.
Nabi Muhammad SAW menyebut dalam hadisnya:
لَوْ كَانَ لِابْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ مَالٍ لَابْتَغَى ثَالِثًا وَلَا يَمْلَأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلَّا التُّرَابُ وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ.
“Sekiranya anak Adam memiliki harta sebanyak dua bukit, nescaya ia akan mengharapkan untuk mendapatkan bukit yang ketiga, dan tidaklah perut anak Adam itu dipenuhi melainkan dengan tanah (mati), dan Allah menerima taubat sesiapa saja yang bertaubat.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Riqaq, no. 6436, daripada Ibn ‘Abbas]
Firman Allah SWT:
أَلۡهَىٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ ١ حَتَّىٰ زُرۡتُمُ ٱلۡمَقَابِرَ ٢
“Kamu telah dilalaikan dengan banyaknya harta, (1) sehingga kamu masuk kubur (barulah kamu sedar). (2)” [Surah al-Takathur]
Nafsu yang melonjak inilah menyebabkan manusia menjadi rakus. Tidak kira siapa dan melibatkan semua pihak. Maka berlakulah rasuah seperti kisah dua ekor kera yang sangat suka kepada pisang. Mereka berebut sebiji pisang, lalu jumpa seekor beruk. Beruk pun minat pisang juga. Dia kononnya hendak menyelesaikan masalah. Tetapi apa yang dia buat? Dia potong pisang berat sebelah, potong masuk ke dalam mulutnya. Potong lagi, masuk ke dalam mulutnya juga. Akhirnya tinggal kulit. Kulit itu sahaja yang tinggal untuk kera-kera tadi.
Inilah yang berlaku pada hari ini. Mengapa projek gagal? Mengapa bangunan hospital tidak mendapat kelulusan? Mengapa beli senjata, senjata tidak sampai, atau sampai dalam senjata yang second hand? Kenapa? Kerana duit habis di tengah jalan. Ada yang ambil sepuluh peratus, ada yang ambil lima peratus, ada yang ambil lebih lagi. Akhirnya, bajet tidak cukup. Bajet diluluskan tiap-tiap tahun cukup, tetapi bila sampai masa hendak laksana, tidak cukup. Ini berlaku kerana kelemahan iman. Kalau iman kuat, tidak berani buat benda seperti ini.
Kedua, kelemahan undang-undang, di mana undang-undang hari ini tidak ada roh. Dalam Islam, undang-undang bukan setakat dunia. Kalau terlepas di dunia, di dalam kubur kelak akan dikejar. Di akhirat akan dikejar. Tetapi hari ini undang-undang dianggap urusan dunia semata-mata.
Rasuah ini dosa besar. Bahkan lebih besar daripada dosa memakan makanan haram. Makanan haram untuk diri sendiri, tetapi rasuah melibatkan negara dan masyarakat seluruhnya.
Bila undang-undang tidak kuat dan tidak dikaitkan dengan agama, maka orang yang ada ilmu tetapi tidak ada iman, ilmunya digunakan untuk menipu. Lagi pandai, lagi banyak helah. Lepas itu, buat umrah, buat haji, seolah-olah dosa hilang. Dalam Islam, dosa rasuah tidak hilang begitu sahaja. Mesti diambil tindakan undang-undang. Kalau tidak, di akhirat dia kena lagi.
Yang ketiga, undang-undang dilaksanakan secara terpilih. Orang yang sokong kerajaan diselamatkan, yang tidak sokong dikenakan tindakan. Maka payung kerajaan itu bocor. Akhirnya kerajaan menjadi pelindung kepada perasuah.
Dalam Islam, pemimpin mesti menjadi contoh. Ulama menyebut:
الناس على دين ملوكهم.
“Rakyat akan ikut pemimpin mereka.”
Kalau mereka yang berada di atas menjadi model, maka yang di bawah akan mengikutinya. Kita lihat contoh Umar bin Abdul Aziz apabila dalam masa dua tahun sahaja, bukan dua penggal, beliau melakukan reformasi. Dia mulakan dengan dirinya, isterinya, keluarganya, kroninya. Keikhlasan itu menyebabkan seluruh pentadbiran berubah. Reformasi ini tidak memerlukan dua penggal, dua tahun pun mencukupi. Walaupun akhirnya beliau diracun, tetapi reformasi itu berlaku.
Kalau hanya menukar orang, itu bukan reformasi tetapi perebutan jawatan. Kalau tidak buat perubahan secara menyeluruh, negara akan terus rosak. Rasuah ini juga menyebabkan birokrasi di bawah yang menyusahkan rakyat. Nak dapat tanah, nak lulus permohonan, bertahun-tahun masanya melainkan dengan rasuah. Pegawai yang jujur pula boleh menjadi kambing hitam. Kalangan yang besar terselamat, manakala yang kecil pula disembelih.
Sebab itu pemimpin mesti berani melindungi orang yang jujur. Saya tertarik dengan kisah Sultan Hamengkubuwono di Yogyakarta. Seorang polis muda menyaman Sultan kerana kesalahan lalu lintas. Sultan tidak marah. Sebaliknya, Sultan minta pegawai itu dinaikkan pangkat kerana berani menegakkan undang-undang.
Ini yang kita mahu. Bukan pegawai yang jujur dipukul, tetapi diangkat.
Akhirnya, kita kembali kepada punca utama, kegagalan pembangunan insan. Pembangunan insan mesti mengikut acuan Allah dan Rasul. Bermula dari usia bayi, dari fitrah. Pendidikan bermula dengan makanan iaitu dengan susu ibu, dengan asuhan akhlak.
Nabi SAW mengajar:
مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا، وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ.
“Perintahkanlah anak-anak kalian untuk melaksanakan solat apabila sudah mencapai umur tujuh tahun, dan apabila sudah mencapai umur sepuluh tahun maka pukullah dia apabila tidak melaksanakannya, dan pisahkanlah mereka dalam tempat tidurnya!’” [Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Salat, no. 495, daripada Sabrah bin Ma‘bad]
Umur tujuh tahun hendaklah diajarkan solat dan fardu ain. Pada umur sepuluh tahun, dididik dengan perkara yang lebih besar. Pendidikan ini secara berperingkat. Hari ini kita memisahkan pendidikan dengan pembinaan akhlak. Sebab itu berlaku kerosakan.
Dunia juga sedang menghadapi kerosakan yang parah pada hari ini, bukan hanya di peringkat negara, tetapi antarabangsa. Kita melihat bagaimana Amerika sebuah negara demokrasi sudah menjadi negara samseng. Oleh kerana mahukan harta dan hasil bumi, dirompak negeri lain, kembali kepada zaman penjajahan. Sehingga negara blok barat dan eropah mengubah sikap terhadap Amerika. Malangnya Malaysia serah diri daripada awal. Ini sangat mendukacitakan.
Sekadar itu ucapan saya, sekian, terima kasih.
ABDUL HADI AWANG
27 Januari 2026, Dewan Rakyat.





























