Khabar Duka Pemergian Ketua As-Sabiqun

163
Almarhum ketika hadir pada program Liqa' A-Fikri pagi tadi

KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Dungun dengan penuh rasa dukacita merakamkan perkhabaran pemergian Ketua As-Sabiqun PAS Kawasan Dungun, Almarhum Tuan Haji Cikgu Mohd Amin Hamid, yang telah kembali ke rahmatullah pada petang ini.

Ketua Penerangan PAS Dungun Naraza Muda berkata, pagi tadi, Almarhum masih sempat menghadiri Program Liqa’ Fikri PAS Terengganu yang berlangsung di TER, Kuala Terengganu.

“Namun pada petang yang damai ini, Almarhum telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Baharu Dungun,” ujar beliau ketika dihubungi.

Menurut Naraza, pemergian Almarhum amat dirasai oleh seluruh saf pimpinan dan ahli PAS, terutamanya kerana sifat lemah lembut dan prihatin.

“Almarhum merupakan seorang pejuang yang istiqamah, setia dan tidak pernah mengenal erti lelah dalam medan perjuangan.

“Setiap denyutan nadinya sekian lama telah diwakafkan bersama saf kepimpinan PAS demi perjuangan Islam dan kebajikan ummah.” tegas beliau.

Oleh itu, PAS Dungun merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Almarhum dan mendoakan agar ruh Almarhum dicucuri rahmat Allah.

Arwah sentoasa hadir pada setiap program kebajikan PAS Dungun

“diampunkan segala dosa, diterima segala amal bakti, serta ditempatkan dalam kalangan para solihin,

“jasa, pengorbanan dan legasi perjuangan yang ditinggalkan akan terus dikenang dan menjadi pedoman kepada generasi seterusnya.” jelas Naraza.

Sehubungan itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun, YB Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi berkata, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat penduduk setempat khususnya warga PAS Kawasan Dungun.

“Orang yang mengenali Allahyarham tahun beliau ialah seorang tokoh yang banyak berjasa dan berkhidmat kepada masyarakat.

“Moga Allah mengangkat darjat Allahyarham bersama hamba-hamba yang dicintai-Nya dan moga kami menjadi saksi atas setiap budi,

“perhatian dan kebaikan yang pernah beliau curahkan untuk orang kampung ini,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau turut memohon agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melapangkan kuburnya serta menerima segala amal dan usaha kecil yang pernah dpilakukan Allahyarham sepanjang hayatnya sebagai amal yang berterusan.

“Allahyarham dikenali sebagai antara pimpinan lama PAS yang istiqamah berjuang di peringkat akar umbi serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan di kawasan Dungun.” tambah Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin