Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 Bukti Kejayaan Tarbiah Anak Muda

358

KUALA TERENGGANU — Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 melalui penganjuran Malam Munajat Terengganu’ disifatkan sebagai satu pendekatan berbeza dan berimpak tinggi dalam membentuk jiwa serta akhlak generasi muda.

Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu, Ustaz Zul Bhari A. Rahman berkata, kehadiran ribuan anak muda di Stadium Tertutup Gong Badak bukan didorong oleh unsur hiburan atau aktiviti bersifat duniawi.

Sebaliknya kata beliau, mereka hadir untuk mengisi malam ambang tahun baharu dengan selawat, doa dan munajat memohon keberkatan daripada Allah SWT.

Jelas beliau,, suasana yang dizahirkan pada malam tersebut membuktikan generasi muda Terengganu mempunyai keinginan kuat terhadap pengisian rohani dan nilai Islam.

Sekali gus, tambahnya, menolak tanggapan bahawa sambutan tahun baharu mesti diraikan dengan hiburan melalaikan.

Ustaz Zul Bhari bin Abdul Rahman

“Sambutan ini menunjukkan anak muda hadir bukan kerana perkara bersifat kebendaan, tetapi mengharapkan rahmat, kesyukuran dan nikmat yang berpanjangan.

“Di samping memperkukuh kesepaduan antara kepimpinan dan rakyat dalam memupuk rohani ummah,” jelasnya ketika dihubungi pada hari ini.

Beliau menambah, pendekatan Kerajaan Negeri Terengganu yang berbeza daripada kebiasaan negeri lain adalah selari dengan mafhum hadis riwayat Imam al-Tirmizi menegaskan bahawa “antara tanda baiknya Islam seseorang ialah meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat.”

Ustaz Zul Bhari turut menegaskan bahawa sambutan tahun baharu di Terengganu memberi penekanan kepada soal restu Allah SWT, keberkatan dan kesejahteraan hidup berlandaskan Islam.

Sehubungan itu, beliau berharap program seperti Malam Munajat dapat diteruskan dan ditambah baik agar kekal relevan dengan peredaran zaman serta terus berpaksikan wahyu Ilahi demi melahirkan masyarakat yang maju, berkat dan sejahtera bersama Islam.